Isnin, 22 November 2021 | 6:29pm
Presiden China, Xi Jinping- Foto AFP
Presiden China, Xi Jinping- Foto AFP

Xi ikrar China tidak kejar kuasa

BEIJING: Presiden China, Xi Jinping, yakinkan 10 negara ASEAN pada sidang kemuncak hari ini bahawa Beijing tidak gila kuasa atau mahu membuli negara lain.

Beliau membuat kenyataan itu dengan merujuk kepada ketegangan yang semakin memuncak di Laut China Selatan dengan sebahagian besar anggota ASEAN.

Tuntutan Beijing ke perairan Laut China Selatan mengakibatkan pertembungan dengan beberapa negara Asia Tenggara lain dan turut menimbulkan kebimbangan peringkat antarabangsa termasuk di Washington dan Tokyo.

"China sebelum ini, sekarang dan akan sentiasa menjadi jiran yang baik, kawan akrab serta rakan kongsi bermanfaat kepada ASEAN.

"China tidak akan mempengaruhi atau mengambil kesempatan ke atas negara lebih kecil, sebaliknya akan bekerjasama dengan ASEAN untuk menghapuskan campur tangan luar," katanya, yang dilaporkan media kerajaan.

China bertegas mempertahankan kedaulatannya ke atas Laut China Selatan, yang turut menyaksikan tuntutan bertindih Vietnam, Filipina, Brunei, Taiwan dan Malaysia.

Pada masa sama, Xi memberitahu sidang kemuncak itu bahawa China dan ASEAN masih diselubungi kesan Perang Dingin apabila rantau itu tersepit di tengah pertembungan kuasa besar seperti perang Vietnam, dan kini berusaha mengukuhkan kestabilan serantau. - AGENSI

Berita Harian X