Isnin, 22 November 2021 | 5:31pm
Gambar hiasan. - Foto AFP
Gambar hiasan. - Foto AFP

Permit umrah jemaah warga asing hanya bagi usia 18-50 tahun

KAHERAH: Arab Saudi menetapkan permit bagi umrah atau tujuan lain untuk jemaah warga asing dihadkan kepada golongan berusia antara 18 hingga 50 tahun saja.

Menurut laporan Gulf News, yang memetik kenyataan Kementerian Umrah dan Haji, setiap jemaah warga asing juga diwajibkan mengambil suntikan lengkap vaksin COVID-19 yang diiktiraf Arab Saudi.

Selain itu, mereka perlu mengemukakan sijil vaksinasi yang disahkan secara rasmi untuk mendapatkan visa kemasukan elektronik melalui aplikasi kesihatan Eatmarna dan Tawakkalna di laman sesawang Kementerian Luar Arab Saudi.

Pihak kementerian sebelum ini melancarkan perkhidmatan yang membolehkan jemaah umrah luar negara mendapatkan permit menunaikan ibadah di Masjidil Haram, Makkah dan solat di Masjid Nabawi, Madinah melalui aplikasi kesihatan itu, dalam usaha memudahkan prosedur mereka.

Prosedur sama turut ditetapkan bagi jemaah tempatan yang perlu mendapatkan permit selain diminta mengelak daripada membawa kanak-kanak ke Masjidil Haram.

Bulan lalu, Arab Saudi melonggarkan sekatan bagi mengawal pandemik COVID-19 kerana keadaan epidemiologi di negara itu mulai stabil, dengan rekod menunjukkan penurunan mendadak dari segi kadar jangkitan.

Kelonggaran sekatan itu termasuk menamatkan penjarakan fizikal bagi jemaah di dua masjid suci di Makkah dan Madinah, di mana jemaah boleh beribadat dengan kapasiti penuh.

Bagaimanapun, jemaah masih diwajibkan terus memakai pelitup muka keti berada di kedua-dua masjid berkenaan. - AGENSI

Berita Harian X