Isnin, 22 November 2021 | 7:29am
Aktivis hak asasi manusia membantah di luar mahkamah Baghdad, membawa sepanduk menyatakan 'perkahwinan kanak-kanak bawah umur adalah jenayah terhadap mereka'. - Foto AFP
Aktivis hak asasi manusia membantah di luar mahkamah Baghdad, membawa sepanduk menyatakan 'perkahwinan kanak-kanak bawah umur adalah jenayah terhadap mereka'. - Foto AFP

Perkahwinan gadis 12 tahun cetus kekecohan di Iraq

BAGHDAD: Mahkamah Iraq menangguhkan perbicaraan kebenaran seorang lelaki melakukan perkahwinan agamanya dengan seorang gadis berusia 12 tahun, semalam.

Di luar mahkamah Baghdad pula, aktivis hak asasi manusia membantah dengan membawa sepanduk menyatakan 'perkahwinan kanak-kanak bawah umur adalah jenayah terhadap mereka'.

Menurut peguam ibu kepada kanak-kanak itu, Marwan Obeidi, kes itu ditangguhkan sehingga 28 November.

"Perkahwinan agama tidak dibenarkan di luar mahkamah sivil atau agama tetapi perkahwinan jenis ini masih kerap berlaku dan disahkan dengan hanya membayar sedikit denda," katanya dalam satu laporan baru-baru ini.

Sementara itu, menurut badan amal Save the Children, umur sah berkahwin di Iraq ialah 18 tahun tetapi boleh diturunkan kepada 15 sekiranya ibu bapa atau kehakiman bersetuju.

Wanita yang enggan dikenali, berkata anak perempuannya Israa telah 'dirogol' dan bapa kanak-kanak itu yang menculiknya.

Jabatan Kementerian Dalam Negeri yang menangani keganasan terhadap wanita berkata, mereka sudah bertemu dengan Israa, bapa dan suaminya serta melihat kontrak agama dan mereka memberi jaminan bahawa dia tidak dipaksa.

Perkahwinan kanak-kanak perkara biasa berlaku di kawasan konservatif dan luar bandar Iraq serta di negara Arab lain. - AFP

Berita Harian X