Ahad, 21 November 2021 | 12:04pm
Lebih 17 maut, ratusan hilang banjir di Andhra Pradesh, selatan India. - Foto Google
Lebih 17 maut, ratusan hilang banjir di Andhra Pradesh, selatan India. - Foto Google

Lebih 17 maut, ratusan hilang banjir di India

NEW DELHI: Lebih 17 orang dilaporkan maut manakala ratusan lagi hilang dalam banjir di Andhra Pradesh, selatan India.

Menurut pencinta alam sekitar, tragedi itu berpunca akibat penebangan hutan dan pembangunan berlebihan dan diburukkan lagi dengan kesan cuaca ekstrem yang didorong akibat perubahan iklim.

Laporan media tempatan pula melaporkan, hujan lebat mengakibatkan banjir sejak Khamis lalu, dan memaksa puluhan ribu orang dipindahkan ke pusat perlindungan sementara di daerah Chittoor, Kadapa, Nellore dan Anantapur di wilayah Rayalaseema.

Pasukan Tindak Balas Bencana Kebangsaan (DRF) dan Pasukan Tindak Balas Bencana Negara dikerahkan dalam operasi menyelamat, lapor agensi berita ArabNews.

Jurucakap DRF berkata, tiga daerah iaitu Chittoor, Tirupati dan Kadapa paling teruk terkesan dengan lebih 100 kampung di Kadapa dinaiki air.

"Hujan lebat direkodkan 180 hingga 200 milimeter direkodkan di kawasan terjejas dalam tempoh 24 jam.

"Taburan air hujan meningkat tetapi pada masa sama tiada laluan untuk air keluar," kata R. K. Jenamani dari Jabatan Meteorologi India.

Pakar alam sekitar, Himanshu Thakkar, yang mengkaji corak penurunan hujan di India berkata, sama ada cuaca itu akan bertukar menjadi bencana atau tidak, ia dipengaruhi dengan cara pengurusan lembangan sungai serta kawasan tadahan hujan.

"Berlaku kemerosotan kawasan tadahan hujan dan penebangan hutan yang semakin meningkat. Sistem air tempatan yang diguna untuk menuai hujan serta mengalir semula dalam tanah, semakin terdegradasi secara sistematik.

"Wilayah Rayalaseema Andhra Pradesh adalah satu daripada kawasan paling kering di India," katanya yang berpangkalan di Delhi.

Katanya, adalah malang kejadian itu berlaku walaupun ramalan cuaca sudah dilaksanakan malah menyatakan, sekiranya ia diuruskan dengan baik, cuaca itu pastinya menjadi satu rahmat.

Banjir di Andhra Pradesh terjadi selepas kejadian cuaca ekstrem mengganggu kehidupan dan menyebabkan kerosakan teruk di negeri India Selatan yang lain. - AGENSI

Berita Harian X