BEIRUT: Sekurang-kurangnya 19 orang terbunuh sejak awal November ini akibat bahan letupan ditinggalkan ketika perang di Syria.
Menurut badan pemantau hak asasi, Observatorium Syria yang berpangkalan di Britain, 19 orang awam Syria termasuk lapan kanak-kanak dan tiga wanita terbunuh.
Semuanya disebabkan sisa letupan perang sejak awal November ini, di wilayah Idlib, Aleppo, Quneitra, Daraa, Hama dan Homs.
Bahan letupan yang ditinggalkan di kawasan sepanjang jalan atau di bangunan oleh semua pihak dalam konflik selama sedekad di Syria setakat ini mencederakan ribuan orang awam dan membunuh ratusan yang lain.
Syria mengatasi Afghanistan tahun lalu sebagai negara dengan jumlah korban tertinggi direkodkan akibat periuk api, jerangkap samar dan sisa letupan perang.
Pemantau Periuk Api berkata, bulan ini Syria mencatatkan paling ramai mangsa buat kali pertama sejak laporan tahunannya bermula pada 1999, dengan 2,729 mangsa sama ada terbunuh atau cedera.
Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), di seluruh Syria, satu daripada tiga penempatan berpenduduk dianggap tercemar oleh bahan letupan.
Perang Syria dianggarkan sudah membunuh hampir setengah juta orang dan jutaan yang lain kehilangan tempat tinggal sejak ia bermula dengan tindakan keras terhadap protes anti kerajaan pada 2011. - AFP