Jumaat, 22 Oktober 2021 | 8:17am
Bekalan elektrik terputus di Kabul dan beberapa wilayah lain. - Foto AFP
Bekalan elektrik terputus di Kabul dan beberapa wilayah lain. - Foto AFP

Letupan putuskan bekalan elektrik di Kabul

KABUL: Bekalan elektrik terputus di Kabul akibat satu letupan semalam, yang dilihat sebagai satu tindakan menggugat usaha Taliban mengembalikan kestabilan Afghanistan sejak dua bulan mereka berkuasa.

Punca letupan belum dikenal pasti, namun disahkan sebagai serangan yang membuktikan militan mengubah taktik pemberontakan terhadap Taliban.

"Beberapa jam lalu, satu letupan meletupkan tiang elektrik di Qala Murad Beg di wilayah Kabul, sekali gus menjejaskan bekalan kuasa 220 kv yang diimport.

"Akibatnya bekalan elektrik terputus di Kabul serta beberapa wilayah lain," kata syarikat tenaga Breshna dalam pemberitahuan kepada pelanggannya.

Bekalan elektrik terganggu kira-kira jam 6 petang waktu tempatan menjadikan Kabul bergelap dan menjejaskan kira-kira 4.5 juta pengguna.

Hanya penjana kuasa swasta beroperasi di premis perniagaan serta perumahan yang dihuni penduduk kaya.

Afghanistan yang sebahagian besarnya bergantung pada tenaga elektrik yang diimport dari negara jirannya, utara Uzbekistan dan Tajikistan.

Pemberontak menjadikan saluran kuasa yang merentasi negara sebagai sasaran utama.

Sepanjang 20 tahun perjuangan Taliban menentang bekas kerajaan yang disokong Amerika Syarikat, pemberontak kerap menyerang infrastruktur tenaga kuasa.

Bagaimanapun selepas perebutan kuasa pada pertengahan Ogos lalu, gerakan itu sering melakukan serangan bom untuk melindungi daripada serangan kumpulan Daesh.

Sementara itu, dalam kenyataan, Breshna mengatakan sudah menghantar jurutera ke kawasan terbabit dan memaklumkan jika keadaan membenarkan, mereka akan mula memperbaiki sambungan elektrik. - AFP

Berita Harian X