Khamis, 21 Oktober 2021 | 7:27pm
Seorang penduduk tempatan menjalani ujian COVID-19 di Xian, Shaanxi di wilayah utara China. - Foto AFP
Seorang penduduk tempatan menjalani ujian COVID-19 di Xian, Shaanxi di wilayah utara China. - Foto AFP

COVID-19: Penerbangan dibatalkan, sekolah ditutup di China

BEIJING: Pihak berkuasa China membatalkan ratusan penerbangan, menutup sekolah dan terus meningkatkan ujian saringan COVID-19 pada hari ini.

Ia adalah usaha terbaru republik itu bagi membendung kemunculan semula penularan COVID-19 yang dikaitkan dengan sekumpulan pelancong.

Beijing kekal dengan pendekatan sifar COVID-19 apabila melaksanakan penutupan sempadan ketat dan perintah berkurung bersasar meskipun negara lain cuba melonggarkan sekatan.

Penularan tempatan sebahagian besarnya sudah ditangani, namun China merekodkan kes baharu untuk lima hari berturut-turut, kebanyakannya di wilayah utara dan barat laut, mendorong pihak berkuasa meningkatkan kawalan.

Kes penularan terbaru ada kaitan dengan pasangan warga emas dalam kumpulan pelancong yang bermula di Shanghai sebelum penerbangan ke Xi'an, wilayah Gansu dan Inner Mongolia.

Puluhan kes direkodkan dan kontak rapat berlaku di sekurang-kurangnya lima wilayah termasuk Beijing, sekali gus mendorong kerajaan tempatan melaksanakan ujian saringan besar-besaran.

Selain itu, kawasan tumpuan ramai dan tapak pelancongan, sekolah serta pusat hiburan di kawasan terjejas ditutup selain mengenakan perintah berkurung bersasar di perkarangan perumahan.

Beberapa wilayah termasuk Lanzhou, sebuah bandar dengan empat juta penduduk di barat laut China, melarang masyarakat setempat meninggalkan rumah melainkan atas urusan mustahak.

Sesiapa yang mahu meninggal kediaman perlu menunjukkan keputusan negatif COVID-19.

Selain itu, lapangan terbang di wilayah terjejas terpaksa membatalkan ratusan penerbangan, demikian menurut data penjejak penerbangan, VariFlight.

Sekitar 60 peratus penerbangan ke dua lapangan terbang utama di Xi'an dan Lanzhou dibatalkan.

Berdasarkan notis diterbitkan pada Isnin, pihak berkuasa Erenhot di Inner Mongolia memaklumkan perjalanan masuk dan keluar ke bandar itu adalah dilarang dan penduduk diminta kekal di rumah.

Rabu lalu, akhbar tempatan Global Times mengingatkan bahawa kes wabak baharu di Inner Mongolia kemungkinan cenderung mempengaruhi import arang batu dari Mongolia kerana gangguan rantaian bekalan.

Menurut Suruhanjaya Kesihatan Kebangsaan China, terdapat 13 kes domestik dilaporkan Khamis lalu. - AFP

Berita Harian X