Khamis, 7 Oktober 2021 | 8:11pm
Gambar diedarkan Kementerian Pertahanan Taiwan menunjukkan pesawat pejuang China, Shenyang J-16, yang juga salah satu daripada 19 pesawat China dikesan menceroboh ruang udara Taiwan. - Foto EPA
Gambar diedarkan Kementerian Pertahanan Taiwan menunjukkan pesawat pejuang China, Shenyang J-16, yang juga salah satu daripada 19 pesawat China dikesan menceroboh ruang udara Taiwan. - Foto EPA

Hubungan China-Taiwan semakin tegang

TAIPEI: Ketegangan hubungan Taiwan-China kini berada di tahap terburuk dalam 40 tahun, kata Menteri Pertahanan Taiwan, Chiu Kuo-cheng.

Tahap ketegangan itu bertambah getir semalam, beberapa hari selepas sejumlah besar pesawat China memasuki ruang udara Taiwan dan berulang kali menceroboh Zon Pengenalan Pertahanan Udara (ADIZ) Taiwan.

Kuo-cheng berkata, ia adalah keadaan 'sangat serius' dalam masa lebih 40 tahun sejak beliau menyertai tentera dan menambah adanya risiko 'tersilap tembak' di kawasan Selat Taiwan yang sensitif itu.

"Bagi saya sebagai seorang tentera, keadaan amat kritikal kini betul-betul berada di depan saya," katanya kepada jawatankuasa Parlimen.

Beliau membuat kenyataan itu ketika Parlimen melakukan semakan perbelanjaan khas tentera sebanyak T$240 billion (RM36 bilion) bagi pembelian senjata buatan tempatan termasuk peluru berpandu dan kapal perang.

China berulang kali mendakwa Taiwan adalah sebahagian wilayahnya dan akan menawannya secara paksa jika perlu.

bagaimanapun, Taiwan menegaskan ia adalah sebuah negara merdeka yang akan mempertahan kebebasannya dan demokrasi serta menyalahkan China atas ketegangan yang berlaku.

Taiwan menyatakan, 52 pesawat perang China melintasi zon pertahanan udaranya pada Isnin lalu dalam satu lagi rekod 'serangan', dengan Washington menyuarakan kebimbangan mengenai tindakan ketenteraan Beijing yang 'provokatif'.

Menurut Kementerian Pertahanan Taiwan, pihaknya mengerahkan pesawat untuk memberikan amaran selepas 36 jet pejuang, 12 pesawat pengebom berkeupayaan nuklear H-6 dan pesawat lain memasuki ADIZ.

ADIZ tidak sama dengan ruang udara wilayah Taiwan tetapi merangkumi wilayah jauh lebih besar yang bertindih dengan sebahagian ADIZ China sendiri dan bahkan merangkumi sebahagian daratan China.

Sejak dua tahun kebelakangan ini, Beijing mula menghantar pasukan besar ke ADIZ Taiwan untuk memberi isyarat ketidakpuasan pada saat-saat penting dan untuk memastikan tekanan terhadap armada tempur Taipei secara berkala.

China memilih sambutan Hari Kebangsaannya Jumaat lalu untuk menunjukkan kekuatan udara terbesarnya, yang 'menggegarkan' pulau itu dengan 38 pesawat perang.

Itu diikuti oleh 'serangan' susulan oleh 39 pesawat pada Sabtu, mencetuskan kritikan dari Amerika Syarikat (AS).

Jurucakap Jabatan Negara AS, Ned Price, dalam satu kenyataan Ahad lalu, berkata Washington sangat prihatin dengan kegiatan ketenteraan provokatif China berhampiran Taiwan.

"Ini perbuatan yang menggugat kestabilan, berisiko berlaku salah perhitungan dan merosakkan keamanan serta keamanan wilayah," katanya. - AFP

Berita Harian X