Isnin, 4 Oktober 2021 | 11:05am
(Gambar fail) Petani mengadakan bantahan terhadap undang-undang baharu pertanian di India. - FOTO AFP
(Gambar fail) Petani mengadakan bantahan terhadap undang-undang baharu pertanian di India. - FOTO AFP

8 maut insiden tunjuk perasaan petani di India

LUCKNOW: Sekurang-kurang lapan maut di utara India, semalam, apabila pertempuran tercetus ketika tunjuk perasaan oleh golongan petani yang membantah undang-undang baharu pertanian.

Insiden berlaku ketika petani terbabit berkumpul untuk tujuan demonstrasi di daerah Lakhimpur Kheri di mana Menteri Dalam Negeri, Ajay Mishra, dan Timbalan Ketua Menteri Uttar Pradesh, Keshav Prasad Maurya, dijadual mengadakan lawatan.

Kekecohan kemudian tercetus di sekitar kenderaan yang dilapor merupakan sebahagian daripada konvoi Mishra.

"Lapan orang maut dalam insiden di Lakhimpur itu. Empat daripada mereka ialah petani, manakala selebihnya adalah individu yang menaiki kenderaan terbabit," kata Ketua Pengarah Polis Uttar Pradesh, Mukul Goel, kepada saluran berita televisyen CNN-News18.

Kumpulan petani mendakwa anak lelaki Mishra berada di dalam kereta menyertai konvoi menteri itu, atau sedang memandunya, ketika kenderaan berkenaan dikatakan melanggar empat penunjuk perasaan sehingga menyebabkan mereka meninggal dunia.

Berdasarkan laporan awal daripada petani di tempat kejadian, insiden itu mengundang kemarahan peserta demonstrasi yang kemudian didakwa membakar kereta terbabit, dan empat lagi individu dilaporkan maut dalam keganasan berkenaan.

Rakaman video dikongsikan dalam media sosial yang dikatakan insiden ketika tunjuk perasaan itu, menunjukkan petani berlumuran darah dan beberapa kereta terbakar.

Mishra ketika bercakap kepada media tempatan bagaimanapun menafikan dakwaan berkenaan.

Sebaliknya, beliau mendakwa, penunjuk perasaan menyerang konvoi itu serta membunuh tiga pekerja daripada Parti Bharatiya Janata - parti pemerintah pada peringkat nasional dan di Uttar Pradesh - serta seorang pemandu.

Ketua Menteri Uttar Pradesh, Yogi Adityanath, menyifatkan kejadian itu sebagai 'amat menyedihkan dan malang', sambil meminta semua pihak untuk bertenang.

"Sebelum membuat sebarang kesimpulan, tolong tunggu siasatan yang masih berjalan dan tindakan susulan yang akan diambil kelak," katanya menerusi Twitter, semalam.

Media tempatan melaporkan, perkhidmatan Internet di kawasan terbabit dipotong, manakala jalan menuju ke ibu kota Uttar Pradesh, Lucknow ditutup bagi membendung sebarang insiden keganasan lebih lanjut. - AFP

Berita Harian X