Ahad, 3 Oktober 2021 | 8:45pm
Penyokong Taliban menyertai perhimpunan terbuka di Kabul, Afghanistan. - Foto AFP
Penyokong Taliban menyertai perhimpunan terbuka di Kabul, Afghanistan. - Foto AFP

Penyokong Taliban berhimpun raikan pentadbiran

KOHDAMAN: Kira-kira 1,000 penyokong Taliban berkumpul di padang dekat utara Kabul sebagai tanda sokongan kepada pemerintahan dalam usaha mengukuhkan kedudukan di Afghanistan.

Pada perhimpunan itu, hanya peserta lelaki dan budak lelaki berkumpul mendengar ucapan pegawai dan komandan Taliban di bandar berbukit, Kohdaman.

Perhimpunan itu adalah yang pertama seumpamanya dianjurkan di ibu negara sejak kumpulan pejuang Islam berjaya menguasai negara selepas pertempuran sengit tujuh minggu lalu.

Dengan berpakaian hitam dan putih, pejuang Taliban dilengkapi peralatan tempur dan turut memegang senapang, penceramah menyampaikan ucapan kepada penonton yang duduk di kerusi yang disusun berbaris.

Khamis lalu, Taliban bertindak keras terhadap peserta demonstrasi yang menuntut hak wanita di timur Kabul dengan melepaskan tembakan ke udara untuk menyuraikan penunjuk perasaan.

Pihak berkuasa Taliban turut mengacukan senjata ke arah penunjuk perasaan yang kebanyakannya wanita, selepas kumpulan itu tetap mahu meneruskan demonstrasi.

Dalam kejadian itu, seorang wartawan asing cedera dihentak menggunakan senapang dan disekat dari membuat liputan.

"Seorang pejuang Taliban melepaskan tembakan ke udara dengan senjata automatiknya," kata wartawan AFP.

Perhimpunan anti-Taliban dianjurkan secara tersorok oleh beberapa kumpulan diketuai aktivis wanita di beberapa bandar seluruh negara itu selepas Taliban merampas kuasa, termasuk di Herat, yang menyaksikan dua orang mati ditembak.

Tunjuk perasaan kini semakin berkurangan selepas pemerintah mengeluarkan perintah melarang demonstrasi yang tidak mendapatkan kelulusan.

Pihak berkuasa turut mengeluarkan amaran akan mengambil tindakan yang tegas terhadap mana-mana kumpulan yang menganjurkan demonstrasi tanpa permit.

Beberapa siri demonstrasi menyatakan sokongan kepada pemerintah dianjurkan bagi menarik sokongan umum termasuk tunjuk perasaan di Universiti Kabul yang disertai ratusan wanita bertudung. - AFP

Berita Harian X