Jumaat, 1 Oktober 2021 | 9:56pm
Gambar hiasan. - Foto EPA
Gambar hiasan. - Foto EPA

25 pesawat China lintasi ADIZ Taiwan

TAIPEI: Taiwan mendakwa 25 pesawat tentera China melintasi zon pertahanannya hari ini iaitu hari sama Beijing menandakan penubuhan republik itu dan juga pencerobohan terbesar sejak beberapa bulan lalu.

Pertunjukan pada Hari Kebangsaan China berhampiran Taiwan yang didakwa Beijing sebagai sebahagian wilayahnya, berlaku pada minggu sama ia mendakwa Britain menghantar kapal perangnya ke Selat Taiwan dengan 'niat jahat'.

Kementerian Pertahanan Taiwan berkata pihaknya mengeluarkan amaran supaya pesawatnya bersedia selepas mengesan 22 pesawat pejuang China itu.

Pesawat terbabit, termasuk dua daripadanya dilengkapi pengebom nuklear dan satu pesawat anti-kapal selam, memasuki Zon Pengenalan Pertahanan Udara (ADIZ) di barat daya pulau itu.

China sering menghantar pesawat tentera ke zon pertahanan udara Taiwan untuk menunjukkan rasa tidak senang dan minggu lalu ia menerbangkan 24 pesawat ke zon itu selepas Taiwan memohon menyertai perjanjian perdagangan trans-Pasifik.

Pemimpin autokratik China berikrar untuk merebut Taiwan dengan apa cara sekali pun termasuk menggunakan paksaan jika perlu.

Ia meningkatkan tekanan di Taipei sejak pemilihan Presiden Tsai Ing-wen sejak 2016, yang melihat pulau itu sebagai 'sudah merdeka'.

Tahun lalu, jet tentera China mencatatkan 380 pencerobohan ke zon pertahanan Taiwan, dan jumlah pencerobohan selama sembilan bulan pertama tahun ini sudah melebihi 500.

Serangan pada hari ini adalah yang terbesar apabila 28 jet menceroboh ADIZ Taiwan pada 15 Jun lalu.

Ia berlaku selepas Britain buat pertama kali sejak 2008 menghantar kapal perangnya ke Selat Taiwan Isnin lalu, yang dilihat sebagai langkah mencabar tuntutan Beijing terhadap laluan air sensitif itu, yang sebelum ini hanya digunakan tentera laut Amerika Syarikat (AS).

Komando Pentas Timur Tentera Pembebasan Rakyat China mengecam pelayaran itu selain mendakwa Britain bertindak dengan 'niat jahat bagi mensabotaj keamanan dan kestabilan di Selat Taiwan'.

Kapal perang AS kerap melakukan latihan 'kebebasan navigasi' di laluan air yang memisahkan Taiwan dan tanah besar China, sering kali menimbulkan reaksi marah Beijing. - AFP

Berita Harian X