Isnin, 27 September 2021 | 11:41am
Taufan Gulab membadai pantai timur India. - FOTO AFP
Taufan Gulab membadai pantai timur India. - FOTO AFP

2 maut taufan badai pantai timur India

KOLKATA: Dua nelayan dilaporkan maut apabila taufan membawa angin kencang serta hujan lebat membadai pantai timur India, semalam, yang turut menyebabkan lebih 200,000 penduduk di tiga negeri terpaksa dipindahkan.

Bencana taufan adalah biasa di utara Lautan Hindi, namun ramai saintis memberi amaran bahawa ia semakin kerap dan buruk susulan perubahan iklim yang meningkatkan suhu laut.

Jabatan Meteorologi India memaklumkan, Taufan Gulab melanda kawasan antara negeri pesisir Odisha dengan Andhra Pradesh pada jam 6 petang waktu tempatan, bersama angin kencang hingga 98 kilometer sejam.

Media tempatan melaporkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilancarkan selepas sebuah bot nelayan dalam perjalanan dari Odisha ke Andhra Pradesh, terbalik ketika ribut.

Menurut laporan Indian Express, tiga nelayan berjaya berenang ke pantai, manakala dua maut dan seorang lagi masih hilang.

Selain itu, terdapat laporan awal menyatakan pokok turut tumbang apabila taufan berkenaan membadai sebuah daerah pesisir di Andhra Pradesh.

Odisha, Andhra Pradesh dan Bengal Barat mengarahkan penduduk berpindah, susulan ramalan bahawa ribut dari Teluk Bengal bakal membawa 'angin kencang bersama hujan yang amat dan terlampau lebat'

Di Andhra Pradesh, kira-kira 110,000 keluarga dipindahkan dari kawasan rendah ke tempat perlindungan sementara.

Pesuruhjaya Bantuan Khas Odisha, PK Jena, berkata tujuh daerah di negeri itu diletakkan dalam keadaan waspada tahap tinggi.

Beliau memaklumkan dalam satu kenyataan, operasi pemindahan dijalankan ketika kebimbangan tercetus bahawa sekurang-kurang sebuah daerah pesisir akan teruk terkesan akibat taufan itu.

Pihak berkuasa di Bengal Barat, utara Odisha pula bimbang Taufan Gulab akan membawa malapetaka walaupun ia berkemungkinan tidak melanda negeri itu secara langsung, sekali gus memaklumkan mereka tetap melakukan pemindahan penduduk.

"Setakat ini, kita sudah memindahkan lebih 20,000 orang ke sekolah serta pejabat kerajaan yang dijadikan tempat perlindungan sementara bencana taufan," kata menteri yang bertanggungjawab bagi kawasan rendah, Bankim Hazra, kepada AFP, semalam. - AFP

Berita Harian X