Ahad, 26 September 2021 | 10:26am
Gambar menunjukkan salah satu daripada empat mayat penculik yang mati ditembak pihak berkuasa Taliban digantung daripada sebuah kren di Herat, Afghanistan. - Foto AFP
Gambar menunjukkan salah satu daripada empat mayat penculik yang mati ditembak pihak berkuasa Taliban digantung daripada sebuah kren di Herat, Afghanistan. - Foto AFP

Taliban gantung mayat penculik sebagai amaran di Afghanistan

KABUL: Pihak berkuasa Taliban menembak mati empat individu disyaki penculik dan menggantung mayat penjenayah itu di dataran awam di bandar Herat, Afghanistan.

Tindakan mengerikan itu berlaku sehari selepas seorang pegawai Taliban memberi amaran hukuman ekstrem seperti hukuman mati dan pemotongan anggota badan akan dilaksanakan semula.

Seorang pegawai tempatan berkata, semua lelaki berkenaan terbunuh dalam pertempuran senjata selepas dituduh menangkap seorang ahli perniagaan dan anak lelakinya untuk dijadikan tebusan.

Penduduk tempatan memaklumkan, satu mayat digantung dari sebuah kren di pusat bandar dan pengumuman mengenainya dibuat menggunakan pembesar suara.

Seorang pekedai tempatan, Wazir Ahmad, berkata empat mayat dibawa ke dataran itu, dengan satu digantung di situ dan tiga lagi dibawa ke dataran lain untuk dipamerkan.

Timbalan Gabenor Herat, Maulwai Shair, berkata tindakan mempamerkan mayat itu dilakukan bagi mencegah berlakunya lagi kejadian penculikan.

Katanya, semua lelaki berkenaan dibunuh dalam pertempuran bersenjata selepas Taliban mengetahui mereka menculik ahli perniagaan itu dan anak lelakinya, yang mana kedua-duanya sudah dibebaskan.

Imej yang dikongsikan di media sosial menunjukkan mayat berlumuran darah di belakang sebuah trak pikap, dengan sebuah kren mengangkat salah satu mayat ke atas.

Satu lagi video menunjukkan seorang lelaki digantung dari sebuah kren dengan satu tanda di dadanya yang tertera 'Penculik akan dihukum seperti ini'.

Sejak mengambil alih kuasa di Afghanistan pada 15 Ogos lalu, Taliban menjanjikan pelaksanaan peraturan yang lebih 'ringan' berbanding pemerintahan mereka sebelum ini.

Bagaimanapun, terdapat banyak laporan pencabulan hak asasi yang dibuat di seluruh negara.

Khamis lalu, bekas ketua polis agama Taliban, Mullah Nooruddin Turabi, yang kini bertanggungjawab terhadap penjara, berkata hukuman ekstrem seperti hukuman mati dan pemotongan anggota akan dilaksanakan semula di Afghanistan.

Dalam temu bual dengan agensi berita AP, beliau berkata hukuman seumpamanya dilaksanakan atas 'keperluan keselamatan'.

"Bagaimanapun, ia tidak akan dilakukan di khalayak ramai seperti mana ketika pemerintahan Taliban sebelum ini sekitar 1990-an.

"Ramai yang mengkritik hukuman yang Taliban laksanakan di stadium tetapi kami tidak pernah bercakap mengenai hukuman atau undang-undang yang mereka kuatkuasakan," katanya.

Ketika era pentadbiran lima tahun Taliban sebelum ini, hukuman mati kerap dilaksanakan di khalayak ramai di stadium sukan Kabul atau perkarangan luas masjid Eid Gah. - AGENSI

Berita Harian X