Rabu, 15 September 2021 | 7:11am
Orang ramai berhimpun menyokong tahanan Palestin yang dipenjara di penjara Israel. - Foto AFP
Orang ramai berhimpun menyokong tahanan Palestin yang dipenjara di penjara Israel. - Foto AFP

1,400 tahanan Palestin akan mogok lapar

RAMALLAH: Pihak berkuasa Palestin berkata, hampir 1,400 warga Palestin yang ditahan di penjara Israel akan melakukan mogok lapar sebagai tunjuk perasaan terhadap keadaan penjara sejak insiden tahanan melepaskan diri minggu lalu.

Ketegangan semakin meningkat sejak enam tahanan melarikan diri secara dramatik daripada penjara dengan tahap keselamatan tinggi di utara Israel pada 6 September lalu melalui terowong yang digali di bawah sinki.

Empat daripadanya berjaya ditangkap.

Menurut Kelab Tahanan Palestin, susulan itu, tahanan dipindahkan ke penjara lain dan barang peribadi disita dalam pencarian yang dilakukan oleh pengawal penjara.

Tahanan yang marah memulakan kebakaran di beberapa penjara.

"Situasi sangat buruk di penjara, oleh sebab itu mereka melakukan mogok lapar," kata Ketua Suruhanjaya Tahanan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk tahanan Qadri Abu Bakr, kepada AFP.

Qadri berkata, 1,380 tahanan Palestin yang ditahan di penjara Israel akan memulakan mogok lapar pada Jumaat ini, yang akan disusuli oleh banduan lain minggu depan.

Katanya, setakat ini perbincangan antara pihak berkuasa penjara Israel dan wakil tahanan belum mencapai kemajuan.

Palang Merah berkata, Israel memutuskan untuk membenarkan lawatan ke atas tahanan, selepas ia ditangguhkan minggu lalu.

Bagaimanapun, Qadri menzahirkan keprihatinan di atas nasib empat orang yang melarikan diri, yang tidak dibenarkan dilawati oleh Palang Merah.

Peguam Palestin, Khaled Mahjana memberitahu AFP bahawa beliau akan menemui mereka pada petang semalam. - AFP

Berita Harian X