Ahad, 5 September 2021 | 7:28am

Iran desak AS hentikan sekatan

TEHRAN: Iran mendesak Amerika Syarikat (AS) untuk menghentikan semua tindakan sekatan terhadap republik Islam itu selain mendakwa Presiden Joe Biden mengikut dasar sama seperti dilakukan Donald Trump.

Jurucakap Kementerian Luar, Saeed Khatibzadeh, berkata Washington perlu memahami negara itu tiada pilihan selain meninggalkan semua tindakan sekatan dan menunjukkan rasa hormat dalam setiap kenyataan serta tindakan terhadap Iran.

Kenyataan itu dikeluarkan sehari selepas Perbendaharaan AS mengumumkan sekatan kewangan terhadap empat warga Iran yang dituduh merancang penculikan seorang wartawan AS keturunan Iran.

Di bawah pimpinan Trump, Washington secara sepihak menarik diri daripada perjanjian nuklear 2015 antara Tehran dan enam kuasa besar.

Kesepakatan pelbagai hala itu menawarkan Iran pelepasan daripada sekatan sebagai imbalan untuk mengekang program nuklearnya, tetapi terhalang oleh keputusan Trump yang menarik AS daripada perjanjian itu pada 2018.

Sementara itu, Presiden Ebrahim Raisi, berkata usaha untuk menghidupkan semula perjanjian berkenaan terdapat dalam agenda kerajaan, tetapi bukan di bawah tekanan Barat.

"Beberapa kali orang Amerika dan Eropah berusaha memberikan tekanan untuk terbabit dalam dialog, tetapi sia-sia," katanya dalam wawancara TV pertamanya sejak memegang jawatan bulan lalu.

Bagaimanapun, Biden berkata beliau mahu Washington kembali dalam pakatan itu, tetapi perbincangan di Vienna yang bermula pada April terhenti sejak Raisi memenangi pilihan raya presiden Iran pada Jun.

Menteri Luar Iran, Hossein Amir-Abdollahian pula mencadangkan perbincangan Vienna tidak disambung semula selama dua atau tiga bulan.

Raisi berkata, dalam rundingan itu, mereka berusaha untuk menghapuskan sekatan yang menindas dan tidak akan menyerah demi kepentingan Iran. - AFP

Berita Harian X