Khamis, 2 September 2021 | 7:36am
Ikon pemisah Kashmir, Syed Ali Geelani meninggal dunia pada usia 92 tahun. - FOTO AFP
Ikon pemisah Kashmir, Syed Ali Geelani meninggal dunia pada usia 92 tahun. - FOTO AFP

Ikon pemisah Kashmir meninggal dunia

SRINAGAR: Pihak berkuasa India mengenakan tindakan keselamatan di Kashmir, semalam, berikutan kematian ikon pemisah, Syed Ali Geelani pada usia 92 tahun.

Pasukan tentera memasang kawat berduri dan penghadang di jalan menuju ke rumah Geelani di bandar Srinagar, selepas keluarganya mengumumkan kematian beliau.

Pengumuman menggunakan pembesar suara di masjid utama berhampiran kediaman Geelani, meminta orang ramai menziarahi ke rumahnya.

Namun, polis menegaskan tiada seorang pun di lembah Kashmir dibenarkan untuk meninggalkan kediaman masing-masing.

Ribuan anggota keselamatan segera dikerahkan ke lokasi, manakala perkhidmatan Internet mudah alih di seluruh kawasan terbabit dipotong.

Sejumlah kenderaan dan trak berperisai turut meronda sekitar jalan utama di Srinagar.

Ketika hayatnya, Geelani giat berkempen menentang pemerintahan India di wilayah Himalaya dihuni penduduk majoriti Muslim itu yang terbahagi antara India dengan Pakistan sejak 1947.

Beliau dipenjarakan selama bertahun-tahun, selain dikenakan tahanan rumah untuk sebahagian besar masa sepanjang tempoh 11 tahun lalu.

Kesihatan beliau merosot sejak beberapa bulan lalu dengan masalah jantung dan buah pinggang.

Perdana Menteri Pakistan, Imran Khan, ialah antara yang terawal memberi penghormatan kepada Geelani, dengan menciap bahawa beliau 'sangat dukacita' atas kematian 'pejuang kebebasan Kashmir' itu.

"Geelani telah berjuang sepanjang hidupnya untuk rakyat serta hak mereka menentukan keputusan sendiri. Beliau dipenjarakan dan berdepan tekanan oleh India, namun beliau tetap tegas dengan pendirian," katanya. - AFP

Berita Harian X