Selasa, 10 Ogos 2021 | 5:35pm
Ketua Eksekutif Hong Kong, Carrie Lam. - Foto AFP
Ketua Eksekutif Hong Kong, Carrie Lam. - Foto AFP

Hong Kong akan kuat kuasa undang-undang antisekatan China

HONG KONG: Undang-undang antisekatan China akan dikuatkuasakan dalam beberapa bentuk di Hong Kong, kata pemimpinnya hari ini, sambil juga mengesahkan pusat kewangan itu bakal menambah peraturan baharu kepada syarikat antarabangsa.

Badan perundangan Beijing meluluskan undang-undang itu pada Jun sebagai tindak balas terhadap Barat yang mengenakan kecaman keras terhadap Hong Kong dan Xinjiang.

Ia memberi kuasa termasuk menolak visa, pengusiran atau menyita aset mereka yang menentang sekatan perniagaan dan perkara rasmi China.

Syarikat asing boleh disaman di mahkamah China yang bertindak menjatuhkan sekatan dan undang-undang itu dan juga boleh dikenakan kepada anggota keluarganya.

Khabar angin China merancang memperluaskan undang-undang ke Hong Kong sudah tersebar beberapa hari menjelang pertemuan badan legislatif China pada minggu depan selepas media kerajaan mengatakan beberapa langkah baharu sedang digubal untuk Hong Kong dan Macau.

Hari ini, Ketua Eksekutif Hong Kong, Carrie Lam mengesahkan Beijing berunding dengannya untuk menambahkan undang-undang itu ke dalam perlembagaan kecil bandar itu, yang dikenal sebagai Undang-Undang Asas.

"Tujuan undang-undang antisekatan adalah untuk mempertahankan kedaulatan, keamanan dan kepentingan pembangunan negara kita," katanya kepada wartawan.

Katanya lagi, beliau yang menasihatkan Hong Kong supaya meluluskan perundangannya sendiri.

Bagaimanapun katanya, Beijing boleh melaksanakan tindakan langsung seperti dilakukannya dengan undang-undang keselamatan nasional yang menyingkirkan perbezaan pendapat.

"Sebahagian tentera asing, kerajaan luar dan media Barat pasti akan mensensasikan isu ini, dengan harapan dapat melemahkan status kita sebagai pusat kewangan atau kepercayaan dunia luar terhadap Hong Kong.

"Perundangan tempatan mungkin boleh memperjelaskan kerangka dan prosedur undang-undang dengan lebih baik dan sesuai dengan sistem perundangan Hong Kong," katanya.

Hubungan antara China dan kuasa besar Barat semakin buruk sejak beberapa tahun kebelakangan ini, meresahkan syarikat yang beroperasi di kedua-dua pasaran.

Amerika Syarikat (AS) mengenakan sekatan ke atas pegawai-pegawai China dan Hong Kong, termasuk Lam, sementara China turut melakukan tindakan timbal balik.

Syarikat antarabangsa dijatuhi hukuman jika mereka mematuhi salah satu peraturan sekatan.

Bank yang enggan melaksanakan sekatan AS, misalnya, boleh terputus daripada akses kepada dolar. - AFP

Berita Harian X