Khamis, 5 Ogos 2021 | 7:41pm
Polis memeriksa beg penunggang motosikal di Srinagar, sempena ulang tahun kedua New Delhi melaksanakan pemerintahan langsung di Kashmir. - Foto EPA
Polis memeriksa beg penunggang motosikal di Srinagar, sempena ulang tahun kedua New Delhi melaksanakan pemerintahan langsung di Kashmir. - Foto EPA

Kawalan ketat di Kashmir sempena ulang tahun 'hari hitam'

SRINAGAR: Ratusan polis dan tentera tambahan dikerahkan ke bandar utama ditadbir India, Kashmir hari ini, selepas kumpulan pemisah menggesa penutupan dilakukan bagi menandakan 'hari hitam' pada ulang tahun kedua New Delhi melaksanakan pemerintahan langsung.

Kashmir dibahagikan antara India dan Pakistan sejak penghujung pemerintahan kolonial British pada 1947, dengan kedua-duanya menuntut sepenuhnya wilayah itu.

Pertempuran di bahagian yang dikawal India menyebabkan puluhan ribu orang, kebanyakannya orang awam terbunuh.

Pentadbiran Perdana Menteri, Narendra Modi memansuhkan sebahagian autonomi wilayah itu pada 5 Ogos 2019, dan membahagikannya menjadi dua wilayah persekutuan, menahan ribuan orang dalam operasi keselamatan serta menutup komunikasi yang berlanjutan selama beberapa bulan.

Menjelang ulang tahun kedua, pasukan keselamatan mendirikan banyak pusat pemeriksaan dan penghadang baharu di seluruh Srinagar, dengan anggota yang menggunakan kenderaan kalis peluru memeriksa kenderaan dan penduduk di jalan raya.

Seorang anggota polis memberitahu AFP, pemberontak yang disyaki melepaskan tembakan ke arah peronda polis di wilayah barat laut Sopore, namun tiada yang cedera.

Bagaimanapun, polis daerah menafikan kejadian itu di Twitter.

Pemimpin pemisah terkemuka, Syed Ali Geelani, 90, menggesa penutupan umum bagi menandakan 'hari hitam' untuk memprotes 'pencerobohan India', demikian menurut satu kenyataan di Twitter oleh wakilnya yang berpusat di Pakistan, Syed Abdullah Geelani.

Gesaan itu disokong beberapa kumpulan pemisah kecil, yang turut mencabar pemerintahan India di Kashmir.

Polis pada mulanya menggelar pengendali dan kenyataan di Twitter itu sebagai 'palsu'.

Bagaimanapun, Geelani yang sedang sakit dan berada di bawah tahanan rumah selama hampir 13 tahun, mengeluarkan video pertamanya dalam tempoh dua tahun semalam, yang mengesahkan kenyataan itu melalui 'wakil khas yang dicalonkan'. - AFP

Berita Harian X