Ahad, 1 Ogos 2021 | 11:02am
Insiden rempuhan oleh pengebom berani mati yang mengorbankan 40 anggota separa tentera India di Lethpora, Kashmir pada 14 Februari 2019. - Foto fail AFP
Insiden rempuhan oleh pengebom berani mati yang mengorbankan 40 anggota separa tentera India di Lethpora, Kashmir pada 14 Februari 2019. - Foto fail AFP

Dalang serangan 2019 di Kashmir terbunuh

SRINAGAR: Dalang di sebalik serangan 2019 yang mengorbankan 40 anggota separa tentera India, terbunuh dalam pertempuran dengan pasukan keselamatan semalam.

Ketua Polis Kashmir, Vijay Kumar, berkata Mohammad Ismail Alvi iaitu komander organisasi militan Jaish-e-Mohammad (JeM) terbunuh di selatan ibu kota wilayah Srinagar.

"Mohammad Ismail Alvi atau dikenali sebagai Lamboo atau Adnan berasal dari keluarga Masood Azhar terbabit dalam konspirasi dan rancangan serangan Lethpora Pulwama," katanya.

Seorang pengebom berani mati merempuh sebuah bas yang membawa anggota separa tentera India di Kashmir dengan menggunakan kereta pada 14 Februari 2019, mengakibatkan 40 terbunuh sehingga menimbulkan ketegangan.

Kumpulan militan yang berpangkalan di Pakistan, JeM mengaku bertanggungjawab atas serangan itu.

Kerajaan India mendakwa Pakistan membiarkan kumpulan militan beroperasi dari negaranya dan menyeru tindakan diambil.

Islamabad mengatakan ia menolak cadangan yang berkaitan dengan serangan itu.

Kashmir adalah wilayah majoriti Muslim berada di tengah-tengah permusuhan puluhan tahun antara India dan Pakistan.

Kedua-duanya memerintah bahagian wilayah itu dan menuntut keseluruhan wilayah sebagai milik mereka.

Berita Harian X