Sabtu, 31 Julai 2021 | 9:44pm
Pembedahan untuk memisahkan Aisha Ahmed Saeed dari kembar siamnya membabitkan 25 kakitangan perubatan termasuk doktor, juruteknik dan jururawat. - Foto AFP
Pembedahan untuk memisahkan Aisha Ahmed Saeed dari kembar siamnya membabitkan 25 kakitangan perubatan termasuk doktor, juruteknik dan jururawat. - Foto AFP

Doktor di Arab Saudi pisahkan bayi kembar siam

RIYADH: Kumpulan doktor di Arab Saudi berjaya memisahkan seorang bayi Yaman dari kembar siamnya.

Pihak berkuasa berkata, ia adalah kejayaan ke-50 bagi pembedahan membabitkan kembar siam yang direkodkan oleh kumpulan pakar perubatan berkenaan.

Bayi itu, Aisha Ahmed Saeed dilahirkan sempurna tetapi kawasan pelvisnya dipanjangkan dan tambahan sepasang kaki, lapor Arab News, hari ini.

Prosedur memisahkan bayi itu mengambil masa 7 jam 45 minit dan membabitkan 25 kakitangan perubatan termasuk doktor, juruteknik dan jururawat, kata Pusat Bantuan dan Bantuan Kemanusiaan Raja Salman yang dikendalikan oleh kerajaan.

"Pembedahan berjalan sangat lancar... koordinasi dalam kumpulan adalah cemerlang.

"Kami berjaya membuatkan bayi ini sedar semula dan dia membuka matanya. Dia juga berinteraksi dengan ibunya yang berada di laluan keluar bilik pembedahan," kata ketua kumpulan pembedahan itu, Dr. Abdullah al-Rabeeah.

Beliau turut berkata, pihaknya sentiasa bersedia membantu mereka yang memerlukan rawatan perubatan.

Agensi media rasmi Arab Saudi berkata, Aisha berasal dari wilayah Al-Mahra, di Yaman yang mana gabungan ketenteraan pimpinan Arab Saudi menyokong kerajaan menentang pemberontak Huthi yang disokong oleh Iran. - AFP

Berita Harian X