Sabtu, 17 Julai 2021 | 1:18pm
Gambar hiasan - FOTO NSTP
Gambar hiasan - FOTO NSTP

Kerajaan India larang sembelih haiwan sempena Aidiladha di Kashmir

SRINAGAR: Kerajaan India mengarahkan pihak berkuasa di Kashmir untuk melarang penyembelihan semua haiwan sempena sambutan Aidiladha di wilayah majoriti Muslim itu.

Arahan kerajaan nasionalis Hindu itu dikeluarkan, kelmarin, sekali gus dilihat berkemungkinan akan meningkatkan ketegangan di Kashmir.

Keadaan gusar dilaporkan kian menyelubungi Kashmir sejak New Delhi menarik balik status autonomi khas wilayah berkenaan pada Ogos 2019.

Sambil memetik undang-undang berkaitan kebajikan haiwan, Lembaga Kebajikan Haiwan bawah Kerajaan India mengarahkan polis dan pihak berkuasa untuk 'mengambil semua langkah pencegahan' bagi 'menghentikan pembunuhan binatang secara haram serta mengambil tindakan tegas terhadap pelaku.'

Lembu dianggap suci oleh penganut agama Hindu dan penyembelihannya adalah dilarang di wilayah serta kebanyakan negeri di India.

Bagaimanapun untuk kali pertamanya, arahan baharu itu memperluas larangan berkenaan meliputi semua haiwan.

Gabungan badan agama Islam di Kashmir, Muttahida Majlis-e-Ulema (MMU), menzahirkan perasaan marah terhadap tindakan kerajaan itu.

MMU menggesa kerajaan menarik balik arahan 'semberono' itu yang 'tidak dapat diterima umat Islam kerana melanggar secara langsung kebebasan beragama dan undang-undang peribadi mereka.'

Arahan kerajaan itu turut mencetuskan kemarahan pengguna dalam media sosial. - AFP

Berita Harian X