X
Selasa, 13 Julai 2021 | 6:10pm
Wilayah berhampiran Kepulauan Paracel yang menjadi pertikaian menyaksikan peningkatan ketegangan dengan AS dan China masing-masing melakukan operasi ketenteraan. - Foto AFP
Wilayah berhampiran Kepulauan Paracel yang menjadi pertikaian menyaksikan peningkatan ketegangan dengan AS dan China masing-masing melakukan operasi ketenteraan. - Foto AFP

China usir kapal perang AS masuki 'wilayahnya'

BEIJING: China berang selepas kapal perang Amerika Syarikat (AS) berlabuh berhampiran Kepulauan Paracel di Laut China Selatan yang dikawal republik itu semalam.

Ia berlaku sempena ulang tahun kelima keputusan tribunal antarabangsa yang menolak banyak tuntutan wilayah oleh China di rantau berkenaan.

Tentera China dalam satu kenyataan berkata, kapal pemusnah peluru berpandu AS iaitu USS Benfold didakwa memasuki perairan wilayah milik China semalam tanpa kebenaran kerajaan China.

Dalam satu kenyataan tegas yang disampaikan oleh jurucakap Kawalan Selatan Tentera Pembebasan Rakyat (PLA), Kolonel Tian Junli, berkata aset tentera laut dan udara China mengesan serta memantau kapal perang tentera laut AS sebelum bertindak mengusirnya dengan amaran.

Junli mendakwa kejadian itu adalah bukti kuat tindakan navigasi agresif dan ketenteraan AS di Laut China Selatan.

"Kami mendesak AS untuk segera menghentikan tindakan provokatif dan mengawal ketat kegiatan operasi ketenteraan maritim dan udara. Jika tidak, ia akan menanggung semua akibat," tegasnya.

Dakwaan Beijing terhadap misi USS Benfold itu kemudiannya disangkal oleh kenyataan yang dikeluarkan Armada Ketujuh AS, yang menggambarkannya sebagai palsu.

AS berkata, kapal perang itu mencabar sekatan tidak sah di laluan yang tidak menjadi kesalahan dan wilayah dituntut oleh China.

"USS Benfold melakukan FONOP (kebebasan operasi navigasi) mengikut undang-undang antarabangsa dan kemudian terus melakukan operasi normal di perairan antarabangsa... AS akan terus terbang, berlayar dan beroperasi di mana sahaja undang-undang antarabangsa membenarkannya seperti USS Benfold lakukan di sini.

"Tidak ada yang dikatakan oleh PRC (Republik Rakyat China) yang akan menghalang kami," katanya.

Kepulauan Paracel yang turut dikenali sebagai Kepulauan Xisha di China dan gugusan pulau-pulau Hoang Sa di Vietnam adalah sekumpulan daripada lebih 30 pulau yang dituntut oleh China, Vietnam dan Taiwan.

Menurut Inisiatif Ketelusan Maritim Asia, pada masa ini Beijing memiliki 20 pos yang didirikan di Kepulauan Paracel. - AGENSI

Berita Harian X