X
Isnin, 12 Julai 2021 | 5:02pm
Orang ramai meredah banjir di India akibat ribut petir yang turut mengorbankan hampir 70 mangsa. - Foto AFP
Orang ramai meredah banjir di India akibat ribut petir yang turut mengorbankan hampir 70 mangsa. - Foto AFP

70 maut akibat ribut, dipanah petir dalam 24 jam di India

NEW DELHI: Ribut petir dan hujan lebat meragut hampir 70 nyawa selain mencederakan ramai mangsa di Uttar Pradesh, Rajasthan dan Madhya Pradesh di India dalam tempoh 24 jam.

Menurut laporan media tempatan, kematian akibat ribut petir di Uttar Pradesh meningkat kepada 42 orang dan sekurang-kurangnya 20 orang terkorban di Rajasthan manakala tujuh maut di Madhya Pradesh.

Kemalangan paling tragik berlaku di bandar di utara Jaipur semalam, di mana sekurang-kurangnya 11 orang maut dan ramai lagi cedera akibat dipanah petir, kebanyakannya golongan muda.

BBC melaporkan, mangsa sedang mengambil swafoto (selfie) semasa hujan di atas sebuah menara di Amer Fort, antara destinasi pelancongan popular di kawasan itu.

Difahamkan, kira-kira 27 orang berada di atas menara dan tembok kubu ketika dipanah petir, menyebabkan beberapa orang melompat dari menara itu.

Dalam pada itu, pegawai di Bilik Kawalan Bencana Uttar Pradesh di Lucknow mengesahkan 42 orang maut di 17 daerah di Uttar Pradesh.

Perdana Menteri India, Narendra Modi, menerus ciapan Twitter, menyuarakan rasa sedih dan menyampaikan ucapan takziah.

"Ramai orang kehilangan nyawa akibat ribut petir di beberapa daerah di Rajasthan. Ini sangat menyedihkan. Saya mengucapkan takziah kepada keluarga si mati," katanya.

Ketua Menteri Rajasthan, Ashok Gehlot, mengumumkan keluarga mangsa yang terkorban akan diberikan wang pampasan akibat kehilangan anggota keluarga. - AGENSI

Berita Harian X