Jumaat, 2 Julai 2021 | 9:02pm
Sukarelawan mengagihkan minuman sejuk kepada orang ramai di Amritsar, India susulan cuaca panas melampau. - Foto AFP
Sukarelawan mengagihkan minuman sejuk kepada orang ramai di Amritsar, India susulan cuaca panas melampau. - Foto AFP

Puluhan juta derita gelombang panas di India

NEW DELHI: Puluhan juta rakyat India hari ini menderita akibat gelombang panas melampau dengan suhu mencapai paras tertinggi direkodkan sejak sembilan tahun lalu di New Delhi.

Gelombang panas mengorbankan lebih 6,500 orang di negara berpenduduk kedua paling ramai di dunia sejak 2010 dengan saintis menjelaskan perubahan iklim baka menjadikannya bencana alam seumpamanya lebih teruk lagi kerap.

Suhu ketika siang melebihi 40 darjah Celsius selama empat hari berturut-turut di seluruh Rajasthan, Haryana dan New Delhi selain turut menjejaskan sebahagian besar kawasan di Punjab, Uttar Pradesh dan Madhya Pradesh.

Semalam, suhu di New Delhi dicatatkan pada 43.1 darjah Celsius, paling panas di bandar itu sejak 2012, ketika ibu negara dilanda panas terik dengan suhu 43.5 darjah Celsius.

Suhu kembali meningkat hingga 41 darjah Celsius di bandar dengan 20 juta penduduk itu hari ini.

Suhu kekal melebihi tujuh darjah Celsius di atas paras normal sepanjang tahun ini, mendorong takrifan pejabat cuaca India sebagai 'panas melampau yang teruk'.

Jabatan Meteorologi India berkata suhu akan berada di atas 40 darjah Celsius bagi minggu akan datang susulan monsun barat daya dan angin panas dikenali Loo, bertiup dari gurun Rajashtan dan Pakistan.

Jabatan kaji cuaca sudah mengeluarkan amaran gelombang panas bagi wilayah itu dengan meramalkan beberapa lokasi terpencil akan menyaksikan ribut petir.

Suhu sangat panas mendorong peningkatan penggunaan tenaga kerana semakin banyak orang beralih kepada pendingin hawa.

Penggunaan tenaga di New Delhi mencapai hampir 7,000 megawatt (MW) minggu ini, peningkatan antara 10 hingga 15 peratus lebih tinggi berbanding purata permintaan tahun ini.

Di utara Punjab, pihak berkuasa mengumumkan penutupan unit industri dua hari setiap minggu dan mengurangkan waktu pejabat bagi pekerjanya selepas penggunaan elektrik melebihi 15,000 MW.

Hujan tahunan diramal tidak akan tiba New Delhi sebelum 7 Julai ini, menjadikannya monsun paling lama tertangguh di ibu negara sejak 2006.  - AFP

Berita Harian X