Jumaat, 25 Jun 2021 | 12:06pm
Gambar dikeluarkan Biro Maklumat Media India menunjukkan Modi bersama pemimpin politik dari Jammu dan Kashmir dalam pertemuan di New Delhi, semalam. - FOTO AFP
Gambar dikeluarkan Biro Maklumat Media India menunjukkan Modi bersama pemimpin politik dari Jammu dan Kashmir dalam pertemuan di New Delhi, semalam. - FOTO AFP

Modi, pemimpin Kashmir bertemu di New Delhi

NEW DELHI: Perdana Menteri India, Narendra Modi, semalam mengadakan pertemuan kali pertama dengan pemimpin Kashmir sejak status separa autonomi wilayah itu dimansuhkan pada 2019.

Modi dalam ciapannya berkata, perjumpaan berlangsung di New Delhi itu adalah langkah penting dalam usaha ke arah menjadikan Jammu dan Kashmir sebagai wilayah yang membangun serta progresif.

"Persempadanan harus dilaksanakan segera untuk membolehkan pilihan raya diadakan," katanya merujuk kepada langkah penyusunan semula kerusi pilihan raya bagi mewakili perubahan populasi.

Menurut laporan media tempatan, kira-kira 14 pemimpin menghadiri mesyuarat itu, termasuk bekas Ketua Menteri Jammu dan Kashmir, Mehbooba Mufti, Farooq Abdullah serta anak lelakinya, Omar.

Selepas pertemuan itu, Omar Abdullah mempersoalkan kewajaran melakukan persempadanan terbabit.

Langkah itu dilihat sebagai usaha mempertingkat bilangan kerusi majoriti Hindu di wilayah Jammu bagi memberikan kelebihan kepada Parti Bharatiya Janata pimpinan Modi pada pilihan raya.

"Kami memberitahu Perdana Menteri bahawa kami tidak bersetuju dengan pemansuhan status autonomi itu yang dilakukan pada 5 Ogos 2019," katanya kepada saluran berita India, NDTV.

Sambil menyeru parti setempat lain agar turut menggesa kuasa autonomi dikembalikan kepada Kashmir, beliau berkata, pihaknya belum bersedia untuk menerima keputusan itu.

"Namun, kami tidak akan mengambil langkah yang melanggar undang-undang. Kami akan melawan di mahkamah," katanya.

Kerajaan pimpinan Modi meletakkan satu-satunya negeri majoriti Muslim di India itu di bawah kawalan langsung pentadbiran pusat pada Ogos 2019, sekali gus memisahkannya kepada dua wilayah, iaitu Jammu dan Kashmir serta Ladakh, selain menahan sejumlah ahli politik tempatan.

Kerajaan India turut memansuhkan status autonomi khas Kashmir, yang didakwa langkah perlu bagi pembangunan wilayah itu serta menamatkan pemberontakan bersenjata yang mengorbankan ribuan nyawa sejak tiga dekad lalu. - AFP

Berita Harian X