Khamis, 24 Jun 2021 | 11:30am
Seorang penduduk Hong Kong membeli beberapa naskah edisi terakhir akhbar Apple Daily awal pagi tadi. Akhbar itu ditutup mengikut undang-undang baharu keselamatan nasional. - Foto AFP
Seorang penduduk Hong Kong membeli beberapa naskah edisi terakhir akhbar Apple Daily awal pagi tadi. Akhbar itu ditutup mengikut undang-undang baharu keselamatan nasional. - Foto AFP

Penduduk Hong Kong berpusu beli Apple Daily

HONG KONG: Penduduk bandar raya ini berpusu-pusu dan sanggup beratur panjang awal pagi tadi, bagi mendapatkan edisi terakhir akhbar pro-demokrasi, Apple Daily, yang terpaksa ditutup mengikut undang-undang baharu keselamatan nasional yang lebih tegas.

Di daerah Mongkok, beratus-ratus orang mula beratur sejak awal pagi bagi mendapatkan edisi terakhir hari ini, sebagai tanda sokongan ke atas akhbar yang sudah beroperasi sejak 26 tahun lalu.

Halaman muka depan edisi terakhir itu menunjukkan wartawan akhbar itu melambai kepada orang ramai yang berkumpul di luar pejabat itu.

"Memang mengejutkan...dalam masa dua minggu, pihak berkuasa menggunakan undang-undang keselamatan untuk membongkar syarikat yang disenaraikan," kata seorang wanita yang hanya dikenali sebagai Cindy, ketika beratur mendapatkan edisi terakhir akhbar itu.

Menurut vendor surat khabar di Central, pusat kewangan bandar raya itu, edisi itu habis terjual itu beberapa jam kemudian.

"Semuanya begitu tiba-tiba. Saya rasa Hong Kong telah memasuki zaman kegelapan," kata seorang pelajar, yang memberikan nama pertamanya sebagai Tim, kepada AFP.

Akhbar itu yang sebelum ini menjual sejuta naskah di bandar raya yang memiliki 7.5 juta penduduk.

Berikutan itu, seramai 1,000 kakitangan termasuk 700 wartawan dan jurugambar akhbar itu hilang pekerjaan dan mereka juga sudah menutup laman media sosial termasuk Twitter dan Facebook.

Khamis lalu, lebih 500 pegawai polis menyerbu bilik berita akhbar berkenaan dengan apa yang dikatakan oleh pihak berkuasa sebagai tindakan atas penyiaran artikel dan kolum yang meminta sekatan dibuat terhadap China.

Lima eksekutif, termasuk ketua editor, Ryan Law dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Cheung Kim-hung, ditahan dengan tuduhan berpakat dengan pasukan asing.

Law dan Kim-hung didakwa secara rasmi Sabtu lalu dan direman.

Pihak berkuasa juga membekukan aset bernilai HK$1.8 juta (RM965,560) yang dimiliki oleh Apple Daily menggunakan undang-undang keselamatan, melumpuhkan akhbar itu untuk terus beroperasi.

Undang-undang keselamatan, yang ditulis di Beijing dan dilaksanakan di Hong Kong pada Jun lalu, membenarkan pihak berkuasa membekukan aset mana-mana individu atau syarikat di hab perniagaan antarabangsa itu yang dianggap sebagai mengancam keselamatan tanpa perlukan perintah mahkamah. - AFP

Berita Harian X