Jumaat, 18 Jun 2021 | 2:18pm
 Foto AFP
Foto AFP

Korea Selatan guna campuran dua vaksin

SEOUL: Kira-kira 760,000 penduduk Korea Selatan yang sudah menerima dos pertama vaksin AstraZeneca akan ditawarkan vaksin Pfizer-BioNTech sebagai dos kedua.

Ia berikutan kelewatan penghantaran vaksin menerusi skim perkongsian vaksin global COVAX.

Beberapa negara, termasuk Kanada dan Sepanyol juga sudah mempersetujui campuran dos disebabkan oleh kebimbangan mengenai pembekuan darah yang jarang dan berpotensi membawa maut berkaitan vaksin AstraZeneca.

Hasil kajian awal Sepanyol mendapati pemberian dos Pfizer-BioNTech kepada mereka yang sudah menerima vaksin AstraZeneca adalah selamat dan berkesan.

Kira-kira 835,000 dos vaksin AstraZeneca dari COVAX dijadualkan tiba pada akhir Jun ini yang mana Korea Selatan merancang untuk menggunakan sebagai dos kedua untuk kira-kira 760,000 petugas kesihatan yang sudah menerima dos pertama pada April lalu.

Setakat semalam, lebih 27 peratus daripada 52 juta penduduknya sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin COVID-19 dan negara itu berada di landasan yang tepat untuk meraih sasaran 70 peratus pada September, sekali gus mencapai imuniti kelompok sebelum November ini.

Bulan lalu, Korea Selatan mengatakan negara itu akan melakukan percubaan klinikal menggabungkan dos COVID-19 dari AstraZeneca dan Pfizer-BioNTech serta lain-lain.

Pengarah Badan Kawalan dan Pencegahan Penyakit Korea (KDCA), Jeong Eun-kyeong, berkata sehingga kini, 100 petugas kesihatan menjalani percubaan untuk memeriksa pembentukan antibodi dan kesan imun lain.

Korea Selatan merekodkan 507 jangkitan baharu pada Rabu lalu menjadikan kes kumulatif 150,238 dengan 1,996 kes kematian sejak wabak itu bermula. - AGENSI

Berita Harian X