Jumaat, 18 Jun 2021 | 6:55am
Serangan udara ke atas Bandar Gaza awal Rabu lalu. - Foto AFP
Serangan udara ke atas Bandar Gaza awal Rabu lalu. - Foto AFP

Israel lancar serangan udara berterusan ke atas Gaza

BANDAR GAZA: Jet pejuang Israel melancarkan beberapa siri serangan udara semalaman ke atas Semenanjung Gaza, kali kedua sejak gencatan senjata diumumkan 21 Mei lalu bagi mengakhiri pertempuran 11 hari sebelum ini.

Sumber Palestin memberitahu, peluru berpandu Israel menyerang beberapa lokasi milik kumpulan bersenjata di barat laut Bandar Gaza dan utara Beit Lahia di wilayah yang terkepung.

Sebuah bangunan pentadbiran awam di sebelah timur Jabaliya di utara juga menjadi sasaran, selain ladang pertanian di sebelah timur bandar Khan Younis. Tiada korban jiwa dilaporkan.

Susulan serangan udara itu, jurucakap Hamas, Fawzi Barhoum dalam kenyataan berkata siri pengeboman itu adalah demonstrasi kerajaan Israel yang baharu, merujuk kerajaan Naftali Bennett yang baru mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri.

TV Al Aqsa milik Hamas melaporkan dron Israel jatuh di barat Bandar Gaza.

Media Israel melaporkan tentera mereka menyerang Hamas di Semenanjung Gaza sebagai tindak balas pelancaran belon api oleh aktivis di wilayah berkenaan.

Dalam kenyataan, tentera berkata, pihaknya akan berterusan memusnahkan kemampuan dan struktur ketenteraan Hamas serta bertanggungjawab terhadap apa yang berlaku di Semenanjung Gaza.

Rabu lalu, Israel turut melakukan serangan udara yang menyasarkan fasiliti Hamas.

Sekurang-kurangnya 257 rakyat Palestin termasuk 66 kanak-kanak terbunuh sepanjang pertempuran 11 hari di Semenanjung Gaza bulan lalu.

Di pihak Israel pula, 13 penduduk termasuk dua kanak-kanak terbunuh oleh serangan roket dari Gaza. - AGENSI

Berita Harian X