Rabu, 16 Jun 2021 | 8:17pm
Antara pesawat pejuang PLA J-16 milik China 7 yang dikesan menghampiri ruang udara Taiwan. - Foto EPA
Antara pesawat pejuang PLA J-16 milik China 7 yang dikesan menghampiri ruang udara Taiwan. - Foto EPA

China hantar 28 pesawat dekat sempadan Taiwan

TAIPEI: Tentera udara China menghantar 28 pesawat dekat sempadan Taiwan sebagai 'peringatan' jangan terlalu rapat dengan Amerika Syarikat (AS).

Ia juga adalah operasi terbesar China terhadap Taiwan tahun ini, yang disifatkan sebagai tekanan ketenteraan terhadap kepulauan itu.

Pesawat Tentera Pembebasan Rakyat China (PLA) itu termasuk jet pejuang 14 J-16 dan J-11, dikesan berlegar di Zon Pengenalan Pertahanan Udara (ADIZ) dekat barat daya Taiwan semalam.

Kementerian Pertahanan Taiwan, dalam satu kenyataan, berkata tenteranya menghantar pesawat peronda, mengeluarkan amaran radio dan mempersiapkan sistem peluru berpandu pertahanan udara untuk memantau kegiatan China.

Pesawat tentera China sering memasuki ADIZ yang terletak di bahagian barat daya Taiwan sejak tahun lalu atas alasan PLA hanya melakukan latihan ketenteraan di sekitar pulau yang diperintah secara demokratik itu.

Washington dan Beijing, saling mengeluarkan amaran antara mereka berhubung Taiwan sejak Joe Biden dilantik sebagai Presiden AS Januari lalu, meningkatkan ketegangan sedia ada ketika pentadbiran Presiden Donald Trump.

Dalam sidang kemuncak Kumpulan Tujuh (G7) di United Kingdom (UK) hujung minggu lalu, pemimpin negara anggota, atas permintaan Biden, menyatakan kebimbangan berhubung tindakan China di Taiwan, Xinjiang dan Hong Kong.

China mendakwa Taiwan adalah sebahagian daripada wilayahnya dan berkali-kali mengugut untuk mentadbir pulau itu dengan menggunakan tekanan ketenteraan sekiranya perlu, sekali gus mengekang Taipei menjadi sebuah negara merdeka.

Presiden Taiwan, Tsai Ing-wen, berpandangan kepulauan itu yang pada hakikatnya sudah pun menjadi sebuah negara demokrasi berdaulat dan harus dihormati.

Pada awal bulan ini, delegasi Kongres bipartisan AS berkunjung ke Taiwan, sekali gus menimbulkan kemarahan dan teguran golongan nasionalis China di media sosial.

Diplomat tertinggi China, Yang Jiechi, dalam perbualan telefon dengan Setiausaha Negara AS, Antony Blinken minggu lalu, mendesak AS supaya berhati-hati berhubung isu berkaitan Taiwan.

Jabatan Negara AS, dalam satu kenyataan, berkata tentera China harus mematuhi norma dan peraturan antarabangsa ketika melakukan latihan ketenteraan bagi mengelakkan sebarang pertembungan.

Sekiranya pesawat PLA beroperasi secara sembarangan tanpa menghiraukan kesannya kepada negara lain, maka risiko berlaku pertembungan akan sentiasa ada, malah mungkin meningkat. - AGENSI

Berita Harian X