Isnin, 14 Jun 2021 | 10:48pm
Foto fail Mahkamah Kasasi Mesir di Kaherah. - Foto AFP
Foto fail Mahkamah Kasasi Mesir di Kaherah. - Foto AFP

Mahkamah kekalkan hukuman mati 12 anggota Ikhwanul Muslimin

KAHERAH: Mahkamah Mesir hari ini mengekalkan hukuman mati terhadap 12 anggota Ikhwanul Muslimin, termasuk dua pemimpin kanan gerakan yang diharamkan itu, kata pegawai mahkamah.

Mahkamah Agung Mesir itu turut mengurangkan hukuman terhadap 31 anggota Ikhwanul Muslimin kepada penjara seumur hidup, dalam perbicaraan berkaitan pembunuhan beramai-ramai oleh pasukan keselamatan pada 2013.

Individu yang dihukum mati bersabit kesalahan 'menyediakan senjata kepada kumpulan jenayah yang menyerang penduduk dan melawan polis serta memiliki senjata api dan peluru dan bahan menghasilkan bom'.

Mahkamah dalam penghakimannya turut menyenaraikan pertuduhan lain termasuk membunuh anggota polis, melawan pihak berkuasa dan menceroboh serta memusnahkan harta awam.

Menurut sumber mahkamah, keputusan itu adalah muktamad dan tidak boleh dirayu lagi.

Bekas Presiden Mesir yang juga ketua sayap politik Ikhwanul Muslimin, Mohamed Morsi, memegang jawatan itu selama setahun sebelum digulingkan tentera pada 2013.

Pihak berkuasa Mesir kemudian mengharamkan kumpulan Islam itu pada 2013 dan melakukan tangkapan dan memenjarakan ribuan pengikut gerakan itu.

Pertuduhan asal pada 2013 membabitkan lebih 600 defendan dan kes itu dikenali sebagai 'kes pembersihan Rabaa', merujuk pada Dataran Rabaa Al-Adawiya di timur Kaherah.

Ia menjadi lokasi protes besar-besaran bagi menuntut jawatan Presiden Mesir dikembalikan kepada Morsi selepas beliau digulingkan.

Pasukan keselamatan menyerbu dan membunuh ratusan penduduk dalam sehari pada Ogos 2013, beberapa minggu selepas penyingkiran Morsi.

Pada 2018, mahkamah Mesir menjatuhkan hukuman mati terhadap 75 individu, manakala selebihnya dikenakan penjara, termasuk anak Morsi, Osama, yang dikenakan hukuman penjara selama 10 tahun.

Pihak berkuasa mendakwa anggota Ikhwanul Muslimin ketika itu dilengkapi senjata dan tindakan penyuraian secara paksa itu dibuat sebagai langkah menentang keganasan. - AFP

Berita Harian X