Ahad, 6 Jun 2021 | 9:18am
Rakaman video di laman sosial Weibo menunjukkan anggota polis berjaya menahan suspek. - Foto AGENSI
Rakaman video di laman sosial Weibo menunjukkan anggota polis berjaya menahan suspek. - Foto AGENSI

5 maut, 15 cedera serangan rambang di China

BEIJING: Seorang lelaki bersenjatakan pisau membunuh sekurang-kurangnya lima orang dan mencederakan 15 yang lain dalam kejadian serangan di timur China semalam, menurut polis tempatan.

Pihak berkuasa bandar Anqing di wilayah Anhui menerima laporan kejadian serangan membabitkan seorang lelaki yang menikam pejalan kaki menggunakan pisau dalam insiden jam 4.30 petang, menurut kenyataan sebuah balai polis di daerah Anqing di laman sosial Weibo.

Penyerang kemudiannya berjaya ditahan pihak berkuasa dan mangsa yang cedera dihantar ke hospital untuk menerima rawatan lanjut, kata jurucakap polis.

Setakat ini, motif serangan masih belum diketahui dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

Sebuah pusat darah di Anqing meminta orang ramai untuk menderma darah kepada mangsa yang cedera, dengan bekalan darah sedia ada semakin berkurangan, menurut laporan akhbar tempatan.

Undang-undang di China melarang penjualan dan pemilikan senjata api, dan kejadian serangan secara besar-besaran umumnya dilakukan menggunakan pisau atau bahan letupan buatan sendiri.

Sebelum ini, pelaku serangan serupa digambarkan sebagai individu yang mempunyai masalah mental atau berdendam terhadap masyarakat.

Pada Disember tahun lalu, serangan pisau di luar sebuah sauna di timur laut China membunuh sekurang-kurangnya tujuh orang dan mencederakan tujuh yang lain.

Seorang pengawal keselamatan sekolah yang menggunakan pisau mencederakan sekurang-kurangnya 39 orang di sebuah tadika di wilayah selatan Guangxi pada Jun tahun lalu dan suspek dijatuhi hukuman mati. - AGENSI

Berita Harian X