Jumaat, 4 Jun 2021 | 8:08am
Kawasan kejiranan Arab di Silwan, pinggir Bandar Lama timur Jerusalem yang ditakluk Israel, dan tanah perkuburan Yahudi, Gunung Zaiton. - Foto AFP
Kawasan kejiranan Arab di Silwan, pinggir Bandar Lama timur Jerusalem yang ditakluk Israel, dan tanah perkuburan Yahudi, Gunung Zaiton. - Foto AFP

Parti Arab Israel sertai gabungan bentuk kerajaan

BAITULMUQADDIS: Parti yang mewakili warga Arab Israel, menyertai gabungan Israel buat pertama kali untuk menubuhkan kerajaan, namun ramai pihak tidak yakin langkah itu mampu mengakhiri peminggiran politik, selama berdekad-dekad di Israel.

Ketua parti konservatif Islam Raam, Mansour Abbas, menandatangani perjanjian menyertai gabungan itu pada Rabu, dengan hasrat menyingkirkan Perdana Menteri Israel paling lama berkhidmat, Benjamin Netanyahu.

Gambar Mansour yang berketurunan Palestin di meja rundingan bersama pemimpin haluan tengah, Yair Lapid dan nasionalis haluan kanan, Naftali Bennett, menjadi saat bersejarah dan tersebar luas di media sosial.

Mansour yang menjadi Ahli Parlimen Israel sejak 2019, jelas gembira dengan perkara itu melalui ucapan pada Khamis, yang didengari menerusi radio tentera Israel.

"Kami memperoleh mandat untuk mempengaruhi sistem politik Israel dan bukan sekadar berada dalam Knesset (Parlimen Israel).

"Ini membuka ruang kepada kami untuk mempengaruhi dasar dan keputusan untuk manfaat rakyat negara ini, khususnya warga Arab," katanya.

Mansour (kanan) menandatangani perjanjian dengan Ketua Pembangkang Israel, Yair Lapid (kiri) dan pemimpin haluan kanan Naftali Bennett di Ramat Gan dekat Tel Aviv. - Foto AFP
Mansour (kanan) menandatangani perjanjian dengan Ketua Pembangkang Israel, Yair Lapid (kiri) dan pemimpin haluan kanan Naftali Bennett di Ramat Gan dekat Tel Aviv. - Foto AFP

Pada 1992, ketika rundingan damai dengan Palestin berjalan, Ahli Parlimen Arab Israel menyokong gabungan Parti Buruh dari luar, namun tidak terbabit dalam rundingan berkenaan.

Warga Arab Israel yang berketurunan Palestin, kekal di tanah masing-masing apabila Israel diwujudkan pada 1948, merangkumi 20 peratus daripada penduduk Israel.

Mereka kerap membangkitkan aduan berhubung diskriminasi dan dilayan seperti warga kelas kedua.

Ketika konflik terbaharu Palestin-Israel tercetus, warga Arab Israel turut mengadakan tunjuk perasaan buat pertama kali, sebagai solidariti dengan rakyat Palestin di Semenanjung Gaza yang terkepung, dan Tebing Barat yang diceroboh. - AFP

Berita Harian X