Khamis, 27 Mei 2021 | 2:17pm
Orang ramai memeriksa kemusnahan yang berlaku selepas Taufan Yaas melanda pekan Digha dekat Teluk Benggala. - Foto EPA
Orang ramai memeriksa kemusnahan yang berlaku selepas Taufan Yaas melanda pekan Digha dekat Teluk Benggala. - Foto EPA

5 terbunuh, ribuan hilang rumah angkara Taufan Yaas

DIGHA: Lima terbunuh manakala ribuan penduduk hilang tempat tinggal apabila kediaman mereka musnah dibadai Taufan Yaas yang melanda Odisha dan Bengal Barat di India.

Taufan kategori dua itu melanda bersama hujan lebat dan angin selaju 155 kilometer sejam (km/j) menyebabkan kira-kira 1.5 juta penduduk terpaksa mengosongkan rumah bagi menyelamatkan diri.

Bandar dan perkampungan di pesisir pantai turut dibadai ombak setinggi bas dua tingkat, lebih tinggi daripada kebiasaan berikutan kejadian gerhana bulan penuh.

Ketua Menteri Bengal Barat, Mamata Banerjee, berkata dua orang terbunuh di Bengal Barat, dua di Odisha dan seorang di Bangladesh dalam kejadian itu selain lebih 300,000 kediaman musnah.

"Paras air laut dan sungai meningkat sehingga ketinggian tiga hingga empat meter merempuh benteng di 135 lokasi.

"Ribuan penduduk masih terkejut. Kami membuka 14,000 pusat bencana bagi menyediakan tempat perlindungan kepada mereka yang kehilangan tempat tinggal," katanya.

Selain itu, kawasan rendah di Kolkata turut mengalami banjir disebabkan paras sungai yang meningkat.

Menteri Pengurusan Bencana Bengal Barat, Javed Ahmed Khan, berkata usaha mencari dan menyelamat sukar berikutan beberapa penduduk enggan meninggalkan kediaman mereka kerana bimbang dijangkiti COVID-19.

Pegawai kanan perhutanan, Milan Mondal, berkata ombak tinggi turut melanda pusat pembiakan buaya kawasan projek perlindungan harimau di Sunderbans.

"Kira-kira lima rusa dan seekor babi hutan diselamatkan pegawai perhutanan. Kami bimbang banyak buaya yang terlepas dari pusat ini," katanya.

Di Odisha, ratusan pokok tumbang, menyebabkan bekalan elektrik terputus.

Pegawai Pradeep Kumar Jena, berkata beberapa kediaman turut rosak dalam bencana itu namun rangkaian telekomunikasi tidak mengalami kerosakan. - AFP

Berita Harian X