Rabu, 26 Mei 2021 | 3:51pm
Seorang penduduk mengharungi jalan yang banjir akibat Taufan Yaas membadai Digha, berhampiran Teluk Benggala, selatan Kolkata. - Foto EPA
Seorang penduduk mengharungi jalan yang banjir akibat Taufan Yaas membadai Digha, berhampiran Teluk Benggala, selatan Kolkata. - Foto EPA

Taufan badai timur India, 1.2 juta penduduk cari perlindungan

DIGHA: Hujan lebat dan ribut melanda timur India hari ini, taufan kedua melanda negara itu dalam beberapa minggu yang memaksa kira-kira 1.2 juta orang mencari tempat perlindungan tatkala India sedang bergelut dengan COVID-19.

Bagi kebanyakan saintis, ribut taufan itu dijangka lebih kerap dan teruk di utara Lautan Hindi berikutan perubahan iklim yang memanaskan lautan.

Minggu lalu, taufan Tauktae meragut sekurang-kurangnya 155 nyawa di timur India.

Taufan terbaharu pula, Yaas, memaksa lebih 1.2 juta penduduk di negeri timur Teluk Benggala dan Odisha terpaksa dipindahkan.

Jabatan Meteorologi India berkata, hujan lebat dan tiupan angin kencang dilaporkan bermula sekitar jam 9 pagi waktu tempatan, sekali gus pihaknya mengeluarkan amaran kehadiran ombak yang lebih tinggi daripada bumbung di beberapa kawasan.

Kawasan pantai mengalami tiupan angin kencang sehingga 155 kilometer sejam dengan disusuli hujan lebat.

"Kami mengalami hujan lebat dan angin kencang sejak malam tadi. Banyak pokok tumbang. Taufan ini mengakibatkan kabel elektrik terputus," kata seorang penduduk, Bibhu Prasad Panda, yang mendiami daerah Balasore yang terkena tempias badai itu.

Ribut kencang itu mengakibatkan dua penduduk terbunuh akibat renjatan elektrik, kata pihak berkuasa yang melaporkan perkembangan taufan yang melanda daerah Hooghly di Benggala Barat .

Kolkata, bandar utama Benggala Barat, lapangan terbang antarabangsa dilaporkan ditutup mulai Selasa.

Kemudian disusuli lapangan terbang di ibu kota Odisha, Bhubaneswar.

Seramai 4,800 anggota penyelamat ditempatkan di kedua-dua negeri dengan mereka masing-masing dilengkapi alat menebang pokok dan pemotong kabel, alat berhubung komunikasi kecemasan, bot kecemasan dan bantuan perubatan, kata Pasukan Tindakan Bencana Nasional. - AFP

Berita Harian X