Isnin, 24 Mei 2021 | 10:46pm
Foto diedarkan Pasukan Bertindak Bencana kebangsaan (NDRF) India menunjukkan operasi pemindahan penduduk kawasan pesisiran pantai di Bengal Barat. - Foto EPA
Foto diedarkan Pasukan Bertindak Bencana kebangsaan (NDRF) India menunjukkan operasi pemindahan penduduk kawasan pesisiran pantai di Bengal Barat. - Foto EPA

500,000 dipindahkan kerana Taufan Yaas

KOLKATA: Pihak berkuasa India hari ini mengarahkan pemindahan hampir setengah juta orang berikutan taufan yang menuju ke timur negara itu.

Ini adalah ribut taufan kedua yang melanda India dalam tempoh beberapa minggu, selepas taufan pertama yang melanda kawasan pantai barat negara itu mengorbankan banyak nyawa.

Bencana alam itu melanda di saat India berdepan lonjakan jangkitan COVID-19 yang menyebabkan sistem kesihatan mengalami krisis dan peningkatan jumlah kematian yang kini melebihi 300,000.

Pakar memaklumkan frekuensi kelajuan ribut di pesisir pantai India itu semakin meningkat dan ia bertambah laju menuju ke laut.

Jabatan Meteorologi India memaklumkan Taufan Yaas terbentuk di Teluk Benggala dan dijangka masuk ke Benggala Barat dan Odisha Rabu ini, dengan negara jiran, Bangladesh juga kini dalam keadaan berjaga-jaga.

Menurut jabatan itu, Taufan Yaas dengan kelajuan angin mencapai 185 kilometer sejam (kmj) adalah 'badai taufan yang sangat kuat' ketika menghampiri daratan.

"Kenaikan air laut boleh mencapai sehingga empat meter, yang mungkin akan menenggelamkan kawasan pesisir pantai yang rendah," menurut jabatan itu.

Pemindahan di daerah pesisir dan hutan bakau Sundarbans, sebuah tapak warisan dunia UNESCO, bermula semalam, kata Menteri Pengurusan Bencana Bengal Barat, Javed Ahmed Khan.

"Kita perlu memindahkan hampir setengah juta orang ... ke sekolah (dan) pejabat kerajaan, yang diubah menjadi pusat pemindahan taufan untuk melindungi orang ramaii," katanya kepada AFP.

Pesuruhjaya Bantuan Khas Odisha, Pradeep Jena, memberitahu media tempatan bahawa mereka merancang memindahkan orang ramai ke pusat perlindungan.

Negeri itu juga sedang mengatur pemberian bekalan elektrik kepada kilang oksigen yang membekalkan tong oksigen ke hospital merawat pesakit COVID-19.

Bekalan oksigen tambahan juga dibekalkan ke hospital yang merawat pesakit coronavirus di daerah berhampiran, yang mungkin dilanda Taufan Yaas.

Perdana Menteri, Narendra Modi, Ahad lalu berkata pasukan tentera dan anggota bantuan bencana sudah dikerahkan untuk membuat persiapan serta operasi menyelamat ke kawasan yang dijangka dilanda bencana alam itu. - AFP

Berita Harian X