Sabtu, 22 Mei 2021 | 9:04pm
Foto fail, seorang anggota Tentera Laut China menghadap kapal pesaing di Laut China Selatan. - Foto Twitter
Foto fail, seorang anggota Tentera Laut China menghadap kapal pesaing di Laut China Selatan. - Foto Twitter

Kapal perang AS 'transit' di Laut China Selatan

TOKYO: Kapal perang Amerika Syarikat (AS) dikesan meronda sekitar perairan kepulauan Paracel, di Laut Cina Selatan semalam selepas melalui Selat Taiwan.

Perbuatan itu disifatkan sengaja dilakukan bagi mencabar China yang menuntut hampir keseluruhan kawasan maritim di Laut China Selatan, yang turut dituntut kebanyakan negara ASEAN termasuk Malaysia.

Kehadiran kapal itu mengundang bantahan Beijing yang mendakwa AS sengaja mahu mencetuskan provokasi berhubung isu yang tiada kaitan dengannya.

Bagaimanapun, Armada Ketujuh Tentera Laut AS mendakwa kapal berpeluru pandu dari kelas Arleigh Burke USS Curtis Wilbur itu hanya meronda perairan di sekitar kepulauan itu, yang sebelum ini dituntut oleh Beijing, Taiwan serta Vietnam.

"Tuntutan maritim yang tidak berasas adalah menyalahi undang-undang dan menimbulkan ancaman serius di lautan.

"Ini termasuk cubaan menghalang kebebasan navigasi di perairan dan ruang udara antarabangsa, perdagangan bebas serta hak ekonomi negara pesisir Laut China Selatan," kataya dalam satu kenyataan.

Kenyataan itu juga mendakwa Beijing, Taiwan dan Vietnam mengenakan tindakan sekatan perjalanan yang tidak sah di perairan yang dipertikaikan itu.

"Melalui operasi ini, AS mahu menunjukkan bahawa perairan itu adalah di luar apa yang dituntut China dan bercanggah dengan undang-undang antarabangsa.

"Operasi AS di Laut China Selatan diadakan setiap hari sejak lebih seabad lamanya. Rutin operasi dilaksanakan secara erat dengan sekutu yang berkongsi komitmen untuk menjaga keselamatan serta kemakmuran serantau," katanya

Sementara itu, Tentera Pembebasan Rakyat China (PLA) pula berkata AS sudah mencabul kedaulatan maritim China dan mereka bertindak mengusir kapal itu.

"Ia menjejaskan kedamaian dan kestabilan di Laut China Selatan. Tindakan AS mencabuli undang-undang antarabangsa serta norma asas hubungan antarabangsa.

"AS meningkatkan risiko keselamatan serantau, mendedahkan kepada salah faham, salah sangka dan kemalangan di laut. Ia juga tidak profesional dan tidak bertanggungjawab," katanya. - AFP

Berita Harian X