Sabtu, 22 Mei 2021 | 6:24pm
Kakitangan perubatan menyuntik vaksin kepada seorang penduduk Jepun di pusat inokulasi di Tokyo. - Foto AFP
Kakitangan perubatan menyuntik vaksin kepada seorang penduduk Jepun di pusat inokulasi di Tokyo. - Foto AFP

Jepun luluskan vaksin Moderna, AstraZeneca

TOKYO: Pengawal selia Jepun mengesyorkan kelulusan vaksin COVID-19 yang dibangunkan Moderna dan AstraZeneca, bagi membolehkan negara itu mempercepatkan kempen inokulasi.

Menteri Kesihatan, Norihisa Tamura, berkata saranan panel Kementerian Kesihatan itu mendahului persetujuan rasmi oleh kerajaan semalam.

"Kelulusan vaksin baharu itu umpama membina laluan landasan tambahan kereta api yang dapat mempercepatkan kempen kita.

"Ini bermakna usaha memberikan vaksin akan menjadi lebih lancar," katanya kepada pemberita.

Bekalan dos Moderna sudah diimport dan dirancang untuk digunakan di pusat vaksin secara besar-besaran di Tokyo serta Osaka mulai minggu depan.

Takeda Pharmaceutical, pengeluar ubat terbesar di Jepun, sedang mengendalikan import sekitar 50 juta dos suntikan Moderna atau cukup untuk 25 juta orang dan jumlah itu boleh digandakan.

Jepun memulakan kempen inokulasi COVID-19 pada pertengahan Februari menggunakan vaksin Pfizer, yang pertama diluluskan untuk digunakan di negara itu.

Bagaimanapun, masalah kekurangan bekalan awal dan isu logistik lain menyebabkan kempen itu bergerak perlahan.

Jepun sudah menyuntik vaksin kepada 3.9 peratus daripada sekitar 125 juta penduduknya setakat ini, kadar paling perlahan dalam kalangan negara maju.

Kerajaan sudah mengatur untuk membeli 120 juta dos vaksin AstraZeneca, cukup untuk 60 juta orang.

Sebilangan besar dos akan dibuat di Jepun oleh Daiichi Sankyo, JCR Pharmaceuticals dan rakan setempat yang lain.

Pegawai mempertimbang untuk mengehadkan kumpulan umur yang disyorkan untuk vaksin AstraZeneca, disebabkan keprihatinan mengenai kesan pembekuan darah, kata NHK.

Ketua vaksin COVID-19 Jepun sebelum ini menyalahkan sistem ketat kelulusan ubat melambatkan kempen inokulasi bergantung pada satu vaksin yang diluluskan.

Selain itu, gelombang jangkitan keempat turut menimbulkan kerisauan di tengah persiapan Jepun untuk Olimpik Musim Panas, yang dijadual bermula 23 Julai ini.

Menteri bertanggungjawab bagi vaksin, Taro Kono, mengaku bertanggung jawab atas kekecewaan masyarakat terhadap sistem pengedaran vaksin tetapi menambah bahawa proses kelulusan itu adalah kelemahan dalam keadaan darurat.

"Walaupun berada dalam krisis, kita masih menggunakan aturan yang sama untuk meluluskan vaksin, seperti mana kita lakukan pada waktu biasa," katanya dalam wawancara televisyen TBS.

Kerajaan Jepun berhasrat menyuntik sebahagian besar daripada 36 juta rakyatnya yang berusia lebih 65 tahun menjelang akhir Julai ini.

Sukan Olimpik Tokyo yang sepatutnya berlangsung tahun lalu, ditangguhkan berikutan penularan COVID-19 di seluruh dunia. - AGENSI

Berita Harian X