Jumaat, 21 Mei 2021 | 9:40pm
Penyokong Hamas meraikan gencatan senjata yang berkuatkuasa pagi tadi. - Foto AFP
Penyokong Hamas meraikan gencatan senjata yang berkuatkuasa pagi tadi. - Foto AFP

Gencatan senjata kemenangan besar rakyat Palestin

GAZA: Selepas gencatan senjata diisytiharkan, pemimpin kanan Hamas menggambarkan ia satu kemenangan buat rakyat Palestin disambut meriah di bandar Gaza.

"Ini adalah kemenangan terbesar," kata Khalil al-Hayya, anggota kanan kedua kumpulan pejuang Hamas di Semenanjung Gaza yang turut berjanji akan membina semula kediaman yang dimusnahkan angkara serangan udara Israel.

Mesir bertindak sebagai perantara usaha gencatan senjata yang dipersetujui Hamas-Israel pada petang semalam dan berkuatkuasa pagi tadi, selepas mendapat tekanan antarabangsa bagi menghentikan pertumpahan darah yang meletus awal bulan ini.

Serangan udara didalangi Israel ke atas Gaza sejak 10 Mei lalu membunuh 232 rakyat Palestin termasuk 65 kanak-kanak dan pejuang.

Ia turut mencederakan 1,900 orang lagi dalam serangan sama, menurut Kementerian Kesihatan Gaza.

Banyak kawasan musnah dan sekitar 120,000 orang hilang tempat tinggal, menurut pihak berkuasa Hamas.

Di pihak Israel pula mendakwa pejuang Hamas dan kumpulan pejuang lain di Gaza melancarkan lebih 4,300 roket ke arah Israel sehingga kononnya terlebih dulu mencetuskan konflik.

Bagaimanapun, kebanyakan serangan roket berkenaan berjaya dipintas oleh sistem pertahanan udara Iron Dome milik Israel.

Menurut polis Israel, serangan roket membunuh 12 nyawa termasuk dua kanak-kanak dengan seorang tentera Israel, masing-masing warga India dan dua warga Thailand yang terbunuh.

Konflik kononnya mula tegang selepas pejuang Hamas didakwa melancarkan serangan roket ke arah Baitulmaqdis, selepas pertembungan antara polis Israel dan rakyat Palestin di kawasan Masjid Al-Aqsa.

Israel juga melancarkan serangan udara besar-besaran yang kononnya berjaya membedil sasaran ketenteraan di Gaza dan membunuh puluhan komandan pejuang. - AFP

Berita Harian X