Jumaat, 21 Mei 2021 | 1:05pm
Lokasi masjid berusia 112 tahun di bandar Ram Sanehi Ghat di daerah Barabanki.
Lokasi masjid berusia 112 tahun di bandar Ram Sanehi Ghat di daerah Barabanki.

Masjid berusia 112 tahun diroboh di India

NEW DELHI: Penduduk Islam di utara India kini ketakutan selepas pihak berkuasa tempatan tidak mengendahkan perintah mahkamah dan merobohkan masjid berusia lebih satu abad di Uttar Pradesh.

Tindakan merobohkan masjid berusia 112 tahun di bandar Ram Sanehi Ghat di daerah Barabanki itu dianggap tindakan provokasi terburuk sejak Masjid Babri abad ke-16 dimusnahkan perusuh Hindu di negeri jiran, Ayodhya, pada 1992.

Walaupun ada keputusan Mahkamah Tinggi melarang sebarang tindakan terhadap masjid itu hingga 31 Mei, pihak berkuasa tempatan merobohkan bangunan itu Isnin lalu selepas mengisytiharkan ia sebagai struktur haram.

Salah seorang anggota jawatankuasa masjid, Mohammed Nasim, mendakwa orang ramai sudah menunaikan solat selama beberapa dekad di masjid berkenaan.

"Perbuatan merobohkannya amat mengejutkan... orang ramai takut ditangkap atau dikenakan tindakan jika menentang tindakan itu.

"Apa keperluan kecemasan melakukan perobohan itu ketika seluruh negara sedang berjuang memerangi wabak COVID-19?," katanya kepada Arab News semalam.

Uttar Pradesh, negara terbesar dan paling ramai penduduk India, ditadbir oleh Yogi Adityanath, seorang ahli politik dari Parti Bharatiya Janata (BJP) yang berkuasa di negara itu dan terkenal dengan sentimen anti-Islam.

Pihak berkuasa tempatan menafikan melakukan kesalahan, dengan menyatakan tidak ada masjid di lokasi bangunan dirobohkan.

Malah, Majistret Daerah Barabanki, Dr Adarsh ​​Singh, memberitahu Arab News bahawa beliau tidak mengetahui ada masjid yang akan dirobohkan kerana bangunan yang dirobohkan itu dikatakan kediaman haram.

bagaimanapun, Pengerusi Lembaga Pusat Wakaf Sunni Uttar Pradesh, mempertikaikan dakwaan majistret terbabit.

"Masjid ini berdiri di hadapan kediaman Majistret Daerah selama bertahun-tahun. Ini tidak dapat dinafikan... bagaimana masjid menjadi struktur haram? Ia didaftarkan di bawah Lembaga Wakaf Sunni," katanya. - AGENSI

Berita Harian X