Jumaat, 21 Mei 2021 | 7:12am

Israel-Gaza umum gencatan senjata

GAZA: Israel dan dua kumpulan pejuang utama di Gaza mengumumkan gencatan senjata semalam, dalam usaha mengakhiri pertempuran ganas 11 hari.

Menurut kenyataan pejabat Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, Kabinet keselamatannya 'dengan sebulat suara' menerima cadangan yang dibuat atas inisiatif Mesir bagi gencatan senjata tanpa syarat.

Kumpulan Hamas dan Islamic Jihad turut mengesahkan gencatan senjata itu dalam satu kenyataan, dengan memaklumkan ia berkuatkuasa bermula jam 2 pagi hari ini (waktu tempatan).

Kenyataan pihak Israel tidak memaklumkan bila gencatan senjata akan bermula.

Pertempuran terkini menyaksikan jet Israel membedil Gaza melalui serangan udara, dibalas dengan ribuan roket dari Gaza menyasarkan, susulan ketegangan yang makin memuncak selepas 10 Mei lalu.

Serangan roket dari Gaza ke Israel sejurus sebelum gencatan senjata diumumkan ini selepas pertempuran 11 hari Israel-Palestin. - Foto AFP
Serangan roket dari Gaza ke Israel sejurus sebelum gencatan senjata diumumkan ini selepas pertempuran 11 hari Israel-Palestin. - Foto AFP

Semalam, di Rafah, selatan Gaza, wartawan AFP menyaksikan serangan ganas Israel memusnahkan bangunan dan ambulans berulang-alik membawa mangsa serangan.

Serangan roket dari Gaza meningkat menjelang petang semalam, memaksa penduduk Israel mencari tempat perlindungan selepas diarah berbuat demikian oleh tentera Israel.

Tentera Israel berkata, Hamas dan kumpulan pejuang Islam lain di Gaza menembak 4,070 roket ke arah Israel tetapi kebanyakannya yang disasarkan ke penempatan penduduk berjaya dipintas sistem pertahanan udara Iron Dome.

Menurut polis, serangan roket itu mengorbankan 12 nyawa di Israel, termasuk dua kanak-kanak dan seorang askar Israel selain seorang warga India serta dua warga Thailand.

Serangan Israel terhadap Gaza pula sehingga kini sudah mengorbankan 232 penduduk Palestin, termasuk 65 kanak-kanak dan mencederakan lebih 1,900 orang manakala 120,000 kehilangan tempat tinggal, demikian menurut Hamas.

Semalaman, Israel terus membedil Gaza melalui serangan udara dan artileri menyasarkan rangkaian terowong bawah tanah dan infrastruktur lain milik Hamas, menurut tentera Israel. - AFP

Seorang lelaki mengibarkan bendera Palestin di hadapan sebuah bangunan yang runtuh, di Gaza. - Foto AFP
Seorang lelaki mengibarkan bendera Palestin di hadapan sebuah bangunan yang runtuh, di Gaza. - Foto AFP

Penduduk Palestin meraikan gencatan senjata antara Hamas dan Israel. - Foto AFP
Penduduk Palestin meraikan gencatan senjata antara Hamas dan Israel. - Foto AFP

Israel dan dua kumpulan pejuang utama di Gaza mengumumkan gencatan senjata semalam, dalam usaha mengakhiri pertempuran ganas 11 hari. - Foto AFP
Israel dan dua kumpulan pejuang utama di Gaza mengumumkan gencatan senjata semalam, dalam usaha mengakhiri pertempuran ganas 11 hari. - Foto AFP

Gencatan senjata antara Israel dan Hamas yang bermula awal pagi tadi diraikan penduduk Palestin yang membanjiri jalanan. - Foto AFP
Gencatan senjata antara Israel dan Hamas yang bermula awal pagi tadi diraikan penduduk Palestin yang membanjiri jalanan. - Foto AFP
Berita Harian X