Khamis, 20 Mei 2021 | 7:56pm
Rakyat Iran mengibarkan bendera kebangsaan Palestin ketika mengadakan protes sempena solidariti dengan rakyat Palestin di Tehran. - Foto EPA
Rakyat Iran mengibarkan bendera kebangsaan Palestin ketika mengadakan protes sempena solidariti dengan rakyat Palestin di Tehran. - Foto EPA

Gencatan senjata Israel Palestin sedang digiatkan

GAZA: Usaha sedang dirancakkan untuk gencatan senjata antara Israel dan Palestin sebagai langkah membendung keganasan berdarah yang berlarutan selama 10 hari di Gaza.

Serangan udara mengakibatkan kepulan asap kelihatan di ruang udara Gaza akibat dibom, menyaksikan anggota keluarga merengkuk ketakutan.

Tentera Israel mendakwa, sekitar 70 roket dilancarkan dari Gaza ke Israel menyebabkan penduduk bertempiaran melarikan diri untuk mencari perlindungan.

Perbincangan bagi menamatkan pertumpahan darah diteruskan selepas Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden, mengarahkan supaya langkah meredakan ketegangan secara signifikan diambil.

Sementara itu, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, bertekad akan terus memberi tekanan sehingga kempen ketenteraan mencapai objektifnya, kononnya dalam usaha mengembalikan ketenangan dan keamanan untuk rakyat negara haram itu.

Menteri Luar Jerman, Heiko Maas, yang bercakap di Tel Aviv semalam, menyuarakan solidaritinya dengan Israel, tetapi turut menggesa supaya menghentikan pergaduhan antara negara haram Israel itu dan pejuang Hamas di Semenanjung Gaza.

"Israel ada hak untuk mempertahankan dirinya terhadap serangan besar-besaran dan tidak boleh diterima," kata Maas yang mendakwa serangan roket pertama dilancarkan pejuang Hamas pada 10 Mei lalu, berlaku di tengah-tengah ketegangan serta pertempuran ganas antara polis Israel dan rakyat Palestin dalam kompleks Masjid Al-Aqsa di Baitulmaqdis.

"Angka kematian meningkat setiap hari dan ia amat membimbangkan kami dan itu membuatkan mengapa kami menyokong usaha antarabangsa untuk gencatan senjata serta yakin keganasan perlu ditamatkan segera demi kepentingan rakyat," ujar Maas.

Maas juga dijadualkan bertemu dengan Presiden Palestin, Mahmoud Abbas di Ramallah tetapi tiada rancangan untuk mengadakan pertemuan dengan pejuang Hamas.

Tentera Israel mendakwa pejuang Hamas dan kumpulan pejuang Palestin lain di Gaza melancarkan 4,070 roket ke arah Israel dan terpaksa menggunakan pusat pertahanan peluru berpandu Iron Dome untuk memintas serangan itu.

Serangan Israel terhadap Gaza membunuh seramai 230 rakyat Palestin termasuk 65 kanak-kanak, menurut Kementerian Kesihatan Gaza.

Selain itu, serangan juga meninggalkan kawasan itu dalam kemusnahan teruk sehingga memaksa puluhan ribu penduduk kehilangan tempat tinggal di wilayah sesak itu. - AFP

Berita Harian X