Khamis, 20 Mei 2021 | 5:32pm
Taufan Tauktae melanda pantai barat India 16 Mei 2021 dan meninggalkan jejak kemusnahan. - Foto AFP
Taufan Tauktae melanda pantai barat India 16 Mei 2021 dan meninggalkan jejak kemusnahan. - Foto AFP

Amaran taufan baharu bakal melanda Teluk Benggala

AHMEDABAD: Pakar ramalan kaji cuaca meramalkan ribut besar akan melanda Teluk Benggala di pantai timur India, beberapa hari selepas taufan terbesar membadai barat negara itu dalam beberapa dekad yang menyebabkan sekurang-kurangnya 110 orang disahkan meninggal dunia.

Saintis berkata, taufan di rantau ini akan menjadi lebih kerap dan kuat kerana perubahan iklim menyebabkan suhu laut lebih panas.

Taufan Tauktae melanda pantai barat India Isnin lalu dan meninggalkan jejak kemusnahan, yang menambah kesengsaraan negara yang sedang berjuang dengan lonjakan kes COVID-19.

Bahkan sebelum ia tiba di Gujarat, dengan tiupan angin sehingga 185 kilometer sejam (km/j), hujan lebat di kawasan luarnya dan angin kencang mengorbankan 20 orang di barat dan selatan India.

Di negeri itu, angin menghancurkan rumah, menumbangkan puluhan ribu pokok dan mematikan kuasa tenaga dengan korban meningkat kepada 53 orang.

Taufan melemah ketika bergerak melintasi utara India, yang menyebabkan hujan lebat termasuk di Allahabad dan New Delhi.

Sementara itu, Angkatan Laut berkata, 37 mayat berjaya ditemui selepas kapal pemasangan pelantar minyak tenggelam manakala 38 orang masih hilang.

Dalam amaran terbaru, Jabatan Meteorologi India berkata, kawasan tekanan rendah kemungkinan akan terbentuk Sabtu ini di Teluk Benggala.

Katanya, kemungkinan besar ia akan meningkat secara beransur-ansur menjadi badai taufan, yang akan sampai ke pantai negara timur Benggala Barat dan Odisha pada 26 Mei ini. - AFP

Berita Harian X