Rabu, 19 Mei 2021 | 6:29pm
Seorang warga tua Palestin berjalan melewati sebuah bangunan yang musnah akibat serangan udara Israel di Gaza City. - Foto AFP
Seorang warga tua Palestin berjalan melewati sebuah bangunan yang musnah akibat serangan udara Israel di Gaza City. - Foto AFP

Konflik Israel-Palestin meningkat ketika desakan gencatan senjata

GAZA CITY: Serangan udara dan dan tembakan roket yang membingitkan sekali lagi menggegarkan Gaza semalam dan awal hari ini, ketika desakan diplomatik antarabangsa supaya gencatan senjata dibuat selepas lebih seminggu pertumpahan darah berlaku di bandar itu.

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, berkata pengeboman Israel di Gaza menyebabkan pemerintah Islam Hamas kembali 'bertahun-tahun' sejak ia bermula pada 10 Mei lalu sebagai tindak balas terhadap tembakan roket Hamas.

Pesawat perang menyerang Gaza City sekali lagi pada waktu subuh, dengan tentera Israel terus menyasarkan pemimpin dan infrastruktur pejuang Palestin di kawasan kepungan yang sesak, di bawah sekatan Israel selama hampir 15 tahun.

Randa Abu Sultan, 45, berkata semua ahli keluarganya berkumpul di satu bilik pada malam itu.

"Kami semua ketakutan dengan bunyi letupan, peluru berpandu dan jet pejuang," kata ibu kepada tujuh anak itu.

"Anak lelaki saya yang berusia empat tahun memberitahu, dia takut jika dia tertidur, dia akan bangun melihat kami mati.

"Tentera Israel berkata, ia menyerang '40 sasaran Hamas bawah tanah' semalam di Semenanjung Gaza selatan.

Di Semenanjung Gaza utara, seorang wartawan yang bekerja untuk radio Al-Aqsa yang berkaitan dengan Hamas, terbunuh ketika serangan Israel mengenai kediamannya di utara Gaza City, kata pihak berkuasa, wartawan pertama yang terbunuh dalam siri keganasan ketika ini.

Kementerian kesihatan berkata, serangan udara Israel membunuh sekurang-kurangnya 219 rakyat Palestin termasuk 63 kanak-kanak di Gaza sejak 10 Mei lalu.

Polis Israel berkata, tembakan roket Palestin membunuh 12 rakyat Israel.

Tentera Israel mendakwa, kumpulan bersenjata menembak 50 roket ke selatan Israel semalaman, dengan 10 daripadanya jatuh di dalam Gaza.

Mesyuarat Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berakhir tanpa mengeluarkan kenyataan pada lewat Selasa, namun Perancis kemudian memaklumkan, ia mengusulkan resolusi yang menuntut gencatan senjata, dengan kerjasama negara jiran Israel, Mesir dan Jordan.

Duta besar Beijing ke PBB, Zhang Jun, memberitahu wartawan, pasukannya sudah mendengar usul gencatan senjata Perancis dan China 'menyokong'.

Seorang diplomat lain berkata, usul itu bertujuan menamatkan permusuhan dan 'membenarkan akses kemanusiaan'. - AFP

Berita Harian X