Selasa, 18 Mei 2021 | 7:26am
Israel melancarkan serangan roket dari pusat pertahanan peluru berpandu Iron Dome. - Foto AFP
Israel melancarkan serangan roket dari pusat pertahanan peluru berpandu Iron Dome. - Foto AFP

Rejim zionis lancar artileri ke Lubnan

BAITULMAQDIS: Rejim zionis berkata, mereka melancarkan artileri ke Lubnan semalam, sebagai tindak balas terhadap serangan roket dari negara itu yang gagal menyerang Israel.

Tentera Israel berkata, enam cubaan serangan yang gagal melintasi Israel dikenal pasti dari Lubnan.

"Pasukan artileri menembak ke arah sumber pelancaran terbabit," katanya dalam kenyataan.

Sumber tentera Lubnan memberitahu AFP, tiga roket jenis Grad itu dibedil dari Shebaa Farms di selatan Lubnan yang terletak berhampiran sempadan Israel.

Tunjuk perasaan terhadap serangan udara Israel yang menyasarkan pejuang bersenjata Palestin di Semenanjung Gaza berlaku di selatan Lubnan, lokasi kubu seteru Israel, Hizbullah.

Lebih 200 orang terkorban dalam berbalas serangan antara pejuang Hamas dan rejim zionis di Semenanjung Gaza.

Israel melancarkan serangan udara semalam, sebagai tindak balas terhadap bedilan roket Hamas ke Baitulmaqdis susulan keganasan polis di pekarangan Masjid Al-Aqsa.

Penunjuk perasaan Lubnan dan anggota Hizbullah, terbunuh dalam serangan Israel minggu lalu, ketika demonstrasi di sempadan negara itu.

Media kerajaan Lubnan berkata, ia berikutan sekumpulan penunjuk perasaan golongan muda cuba melintasi sempadan di utara Metula.

Sumber ketenteraan Lubnan berkata, tiga roket dibedil dari selatan negara itu, berhampiran kem pelarian Palestin Rashidiyeh ke arah Israel, Khamis lalu, manakala rejim zionis menjelaskan roket berkenaan mendarat di laut. - AFP

Berita Harian X