Isnin, 17 Mei 2021 | 1:18pm
Letupan berbentuk seperti bebola api menyebabkan bangunan al-Walid musnah dalam serangan udara Israel di bandar Gaza. - Foto AFP
Letupan berbentuk seperti bebola api menyebabkan bangunan al-Walid musnah dalam serangan udara Israel di bandar Gaza. - Foto AFP

Serangan terbaru Israel, lebih 200 maut dalam seminggu

GAZA: Israel melancarkan serangan udara terbaru ke atas Semenanjung Gaza sebelum Subuh hari ini, selepas seminggu keganasan mengorbankan lebih 200 orang di sebalik gesaan antarabangsa untuk menghentikannya semakin tidak diendahkan.

Menurut wartawan AFP di tempat kejadian, dalam tempoh semalaman dari Ahad hingga Isnin, rejim Zionis melancarkan berpuluh-puluh serangan dalam beberapa minit ke kawasan pesisir Palestin yang dikawal pejuang Hamas.

Pihak berkuasa tempatan, berkata ia menyebabkan gangguan bekalan elektrik yang meluas dan merosakkan ratusan bangunan.

Penduduk Gaza Barat, Mad Abed Rabbo, 39, berkata dia berada dalam ketakutan disebabkan serangan berkenaan.

"Tidak pernah ada serangan sebesar ini," katanya.

Dalam satu kenyataan sebelum jam 2 pagi, tentera Israel berkata, jet pejuangnya menyerang sasaran keganasan di Semenanjung Gaza.

Gazan Mani Qazaat berkata, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu harus menyedari mereka adalah orang awam dan bukannya pejuang.

"Saya berasa seperti sudah mati," katanya.

Serangan terbaru itu berlaku sehari selepas 42 rakyat Palestin di Gaza, termasuk sekurang-kurangnya lapan kanak-kanak dan dua doktor terbunuh dalam jumlah kematian terburuk sejak pengeboman bermula.

Secara keseluruhan, seramai 197 penduduk Palestin terbunuh di Gaza, termasuk sekurang-kurangnya 58 kanak-kanak dan lebih daripada 1,200 cedera sejak Israel melancarkan kempen udara melawan Hamas pada 10 Mei lalu, selepas pejuang melancarkan roket.

Di Israel, 10 orang termasuk seorang kanak-kanak terbunuh dan 282 cedera akibat tembakan roket yang dilancarkan oleh pejuang Hamas. - AFP

Berita Harian X