Isnin, 17 Mei 2021 | 12:09pm
Anggota Pasukan Tindakan Bencana Nasional membersihkan pokok yang tumbang di jalan akibat ribut taufan Tauktae di Goa, India. - Foto AFP
Anggota Pasukan Tindakan Bencana Nasional membersihkan pokok yang tumbang di jalan akibat ribut taufan Tauktae di Goa, India. - Foto AFP

6 maut ribut taufan landa India

AHMEDABAD: Sekurang-kurangnya enam maut, manakala 150,000 penduduk akan dipindahkan akibat ribut taufan Tauktae yang dijangka melanda beberapa negeri di India dalam tempoh terdekat.

Menteri Dalam Negeri, Amit Shah dalam kenyataan, berkata sehingga kini ribuan anggota penyelamat dikerahkan ke Gujarat, sementara unit daripada kawalan pantai, selain pihak tentera termasuk tentera laut dan udara diarah bersiap sedia.

Sementara itu, Jabatan Meteorologi berkata, Taufan Tauktae iaitu ribut tropika pertama di India musim ini dijangka bergerak ke arah utara sejajar dengan pantai barat negara itu, sekali gus membawa hujan lebat, ribut petir dan angin kencang ke beberapa negeri.

Jabatan itu juga memberi amaran ombak kuat setinggi tiga meter dijangka melanda beberapa daerah di persisiran pantai di Gujarat.

Menurut biro cuaca, ia dijangka akan mendarat di persisiran pantai Gujarat, awal Selasa, bersama angin berkelajuan dari 155 hingga 165 kilometer (km) sejam, namun boleh bertiup hingga 185km sejam.

Sebelum ini, Pihak Berkuasa Pengurusan Bencana pada Ahad mengesahkan empat maut selepas menjadi mangsa angin dan hujan lebat yang membadai negeri Karnataka.

Menurut pihak berkuasa, beberapa bandar dan perkampungan juga dilaporkan tenggelam dan harta benda turut musnah akibat bencana itu.

Ketua Menteri Goa, Pramod Sawant, mengesahkan dua lagi maut di pusat peranginan di negeri itu selain kira-kira 200 unit kediaman rosak teruk, manakala jalan pula dihalang pokok tumbang dengan bekalan elektrik turut dilaporkan terputus.

Menurut laporan media tempatan, dua lagi dilaporkan maut dan seramai 23 nelayan dikhuatiri hilang di Kerala.

Kerajaan negeri mengesahkan lebih daripada 150,000 penduduk dijangka dipindahkan daripada kawasan persisiran pantai di Gujarat, manakala program vaksinasi COVID-19 terpaksa ditangguhkan. - AFP

Berita Harian X