Ahad, 16 Mei 2021 | 6:19pm
Keluarga Palestin berjalan melewati bangunan yang musnah dibedil Israel. - Foto AFP
Keluarga Palestin berjalan melewati bangunan yang musnah dibedil Israel. - Foto AFP

Israel serang Gaza, runtuhkan bangunan tempatkan AP dan Al Jazeera

BANDARAYA GAZA: Pemimpin dunia hari ini, menyuarakan kebimbangan serius susulan serangan udara Israel di Semenanjung Gaza, mengorbankan lapan kanak-kanak dan merobohkan bangunan menempatkan pejabat media antarabangsa, sambil pejuang Palestin membalas dengan membedil roket.

Penunjuk perasaan Palestin bertempur dengan tentera Israel di Tebing Barat yang diserang jet pejuang Israel di beberapa lokasi padat di Semenanjung Gaza.

Serangan di bangunan tiga tingkat di kem pelarian Shati membunuh 10 mangsa, masing-masing dua ibu dan empat anak.

Tentera Israel mendakwa bangunan itu digunakan pegawai kanan Hamas.

Mohammed al-Hadidi berkata, dia kehilangan sebahagian besar keluarganya dalam serangan itu.

"Apa salah mereka hingga diperlakukan sedemikian? Kami orang awam, mereka menyerang kanak-kanak tanpa sebarang amaran," kata ayah kepada bayi berusia lima bulan yang turut tercedera dalam serangan itu.

Pejuang Hamas bertindak balas dengan membedil roket ke arah Israel yang mengorbankan seorang lelaki berhampiran Tel Aviv.

Serangan udara Israel petang semalam, meruntuhkan bangunan 13 tingkat di Gaza yang menempatkan pejabat Al Jazeera yang berpangkalan di Qatar dan agensi berita Associated Press, selepas diberi amaran pengosongan.

"Mereka melancarkan perang ini bukan hanya mahu menghancur dan membunuh di Gaza, tetapi untuk mendiamkan media yang melihat, merakam dan melaporkan kebenaran," kata Ketua Biro Al Jazeera Baitulmaqdis, Walid al-Omari, kepada AFP.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif AP, Gary Pruitt, mengakui 'terkejut dan ngeri' dengan serangan itu.

Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden, dalam satu panggilan telefon dengan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, menyuarakan 'keprihatinannya' terhadap peningkatan keganasan yang berlaku dan keselamatan wartawan.

Netanyahu memberitahu Biden, Israel melakukan terbaik untuk melindungi orang awam dalam siri pengeboman di Gaza.

Dalam kenyataan disiarkan di televisyen Sabtu lalu, beliau berterima kasih kepada Biden atas 'sokongan jelas', selepas Presiden AS itu sekali lagi menegaskan hak Israel untuk mempertahankan diri. - AFP

Berita Harian X