Sabtu, 15 Mei 2021 | 4:14pm
Angin puting beliung melanda zon ekonomi di Wuhan. - Foto AFP
Angin puting beliung melanda zon ekonomi di Wuhan. - Foto AFP

Sekurang-kurangnya 10 maut dibadai dua puting beliung di China

BEIJING: Sekurang-kurangnya 10 maut, manakala lebih 300 cedera akibat kejadian dua puting beliung melanda pusat bandar dan timur China, kata pihak berkuasa, hari ini.

Angin kencang dengan kelajuan lebih 100 kilometer sejam (km/j) menggegarkan pusat bandar Wuhan, malam tadi.

Pihak berkuasa berkata, enam maut, manakala lebih  200 cedera dan hampir 30 rumah ranap.

Kenderaan rosak akibat ditimpa serpihan bawaan angin, pokok dan tiang elektrik tumbang dan struktur bangunan runtuh, menyebabkan bekalan elektrik lebih 26,000 rumah terputus.

Angin kencang merosakkan dua kren pembinaan apabila satu daripadanya jatuh ke tapak pembinaan berhampiran, menyebabkan kerosakan teruk.

Di Suzhou berhampiran Shanghai, puting beliung dengan kelajuan lebih 200 km/j mengakibatkan kemusnahan dengan empat terkorban, manakala seorang dilapor hilang, kata pihak berkuasa tempatan.

Imej dikongsi di media sosial memaparkan puting beliung berwarna hitam menyebabkan kemusnahan sepanjang jajarannya.

Pada awal Mei, ribut menyebabkan kematian 11 mangsa di bandar berbeza berhampiran Shanghai. - AFP

Berita Harian X