Sabtu, 1 Mei 2021 | 12:38pm
Gambar hiasan
Gambar hiasan

Gempa bumi 6.8 magnitud landa Jepun

TOKYO: Gempa bumi berukuran 6.8 magnitud melanda pantai timur laut Jepun, pagi tadi, namun tiada amaran tsunami dikeluarkan mahupun kerosakan dilaporkan, setakat ini.

Menurut agensi Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS), gempa bumi itu mencatat kedalaman 47 kilometer (km) di Pasifik, luar Ishinomaki di wilayah Miyagi.

Agensi meteorologi Jepun pula memaklumkan, tiada ancaman tsunami akibat insiden itu yang mencetuskan gegaran kuat di pantai timur, selain turut dirasai di Tokyo.

"Kami sedang mengumpulkan maklumat tetapi tiada menerima laporan kerosakan atau kecederaan, setakat ini," kata jurucakap kerajaan tempatan, Tomoki Sawata, kepada AFP sambil menyifatkan gempa bumi itu sebagai 'agak kuat'.

Susulan insiden itu, NHK melaporkan, perkhidmatan kereta api dihentikan sementara, termasuk kereta api laju shinkansen, dan demikian juga operasi lif dalam beberapa bangunan di Miyagi.

Pengendali loji nuklear di Fukushima, TEPCO berkata, kemudahan itu tidak menunjukkan sebarang keadaan terjejas selepas gempa bumi berkenaan.

"Operasi berjalan seperti biasa," kata jurucakap TEPCO, Koichiro Shiraki, kepada AFP. - AFP

Berita Harian X