Isnin, 26 April 2021 | 4:46pm
Perdana Menteri Jepun, Yoshihide Suga (tengah) berucap pada mesyuarat kabinet di pejabatnya di Tokyo pada 13 April lalu. Foto AFP
Perdana Menteri Jepun, Yoshihide Suga (tengah) berucap pada mesyuarat kabinet di pejabatnya di Tokyo pada 13 April lalu. Foto AFP

Parti pemerintah Jepun tewas ketiga-tiga pilihan raya kecil

TOKYO: Kerajaan memerintah Jepun mengalami tiga kekalahan mengejut pada pilihan raya kecil hujung minggu, berikutan kekecewaan pengundi terhadap skandal dan tindakan menangani pandemik COVID-19 yang dilihat berisiko melemahkan pengaruh Perdana Menteri, Yoshihide Suga.

Parti Liberal Demokratik (LDP) kehilangan ketiga-tiga kerusi dalam pilihan raya kecil parlimen semalam, yang dilihat mencerminkan keputusan rakyat terhadap pemerintahannya dan menjadi penentu untuk pemilihan bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) akhir tahun ini.

Dua kerusi kosong selepas dicemari skandal politik dan yang ketiga selepas kematian anggota parlimen akibat COVID-19.

"Saya menerima keputusan rakyat dengan rendah hati, dan membuat perubahan selepas melakukan analisis lebih lanjut," kata Suga kepada wartawan hari ini dan menambah bahawa memerangi pandemik adalah keutamaannya.

Penganalisis berkata, kemarahan pengundi dengan pembelian undi dan skandal rasuah, serta langkah menangani pandemik melalui program pemberian vaksin yang sangat perlahan, memainkan peranan dalam keputusan pilihan raya.

Hanya satu vaksin yang diluluskan untuk digunakan di Jepun, dengan kira-kira satu peratus penduduk menerima vaksin sepenuhnya setakat ini.

Profesor sains politik di Universiti Waseda, Airo Hino, berkata penyebab (kekalahan) sudah pasti kerana dua pilihan raya diadakan berikutan skandal.

"Tetapi kemarahan dan kekecewaan orang ramai berikutan cara menangani penularan pandemik dan program imunisasi yang lambat, juga memainkan peranan," katanya.

Sokongan terhadap Suga mencapai sekitar 70 peratus ketika beliau memegang jawatan pada bulan September tahun lalu ketika menggantikan Shinzo Abe, yang mengundurkan diri kerana alasan kesihatan selepas menjadi perdana menteri paling lama berkhidmat di Jepun.

Sokongan itu menurun ke tahap 30 peratus pada awal tahun ini, tetapi sedikit pulih kemudiannya.

LDP dijangka kalah dalam dua daripada tiga pemilihan bahkan tidak meletakkan calon dalam satu lagi pemilihan.

Namun, kekalahan di wilayah Hiroshima yang konservatif, di mana ahli parlimen sebelumnya didapati bersalah dalam skandal pembelian undi, adalah tamparan serius terhadap Suga, yang berdepan perbezaan pendapat dalam LDP.

Perbincangan berlangsung selama berbulan-bulan mengenai persediaan pilihan raya, tetapi ketiadaan calon yang baik untuk menggantikan Suga serta ia bukan langkah yang baik untuk mengadakan kempen ketika lonjakan kes COVID-19 bermakna, pemilihan presiden LDP tidak akan berlaku sehingga September.

Pilihan raya bagi DUN mesti diadakan selewat-lewatnya Oktober. - AGENSI

Berita Harian X